KUALA LUMPUR: Dua individu cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka dihempap pokok di Jalan Pudu, Bukit Bintang, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGO KL) dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.44 pagi.
Katanya, seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dan bantuan BBP Pudu dikerahkan ke tempat kejadian.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Md Izzat Ahmad berkata, pasukan operasi BBP Jalan Hang Tuah yang berada dilokasi memaklumkan terdapat pokok tumbang dan telah menghalang jalan raya serta menghempap sebuah kereta Honda City.
“Kejadian ini melibatkan dua mangsa iaitu seorang wanita berusia 39 tahyn dan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun mengalami cedera ringan.
“Mangsa diserahkan kepada pihak ambulan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kerja–kerja pembersihan dan pemotongan dilakukan pasukan bomba bersama pihak Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur –UTUSAN