PUTRAJAYA: Seramai 2,090 calon berdaftar menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di 11 pusat peperiksaan di sini bermula semalam
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ezaiddin Hussain berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 42 pelajar adalah calon persendirian, manakala 10 lagi merupakan calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) yang terdiri daripada kategori masalah pembelajaran dan kurang upaya fizikal.
Menurutnya, pada tahun ini, terdapat dua calon yang menduduki peperiksaan SPM di Hospital Putrajaya.
“JPWPP siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk musim banjir sepanjang peperiksaan SPM 2024 berlangsung.
“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan bencana.
“Mereka juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8(1) di sini semalam.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ruji Ubi meninjau hari pertama peperiksaan SPM 2024 di sekolah berkenaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1.
Ezaiddin berkata, seramai 108 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Sementara itu, peperiksaan SPM bertulis melibatkan seramai 27,017 calon di Kelantan berjalan dengan lancar termasuk di dua sekolah di Rantau Panjang yang masih digenangi banjir.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan , Datuk Mohd. Zamri Abdul Aziz berkata,
Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Al-Falah dan SMU (A) Diniah masih digenangi air sedalam 0.3 meter namun peperiksaan SPM berjalan lancar.
“Semua calon kekal menduduki peperiksaan di sekolah itu kerana banjir semakin surut. Calon SPM di SMU (A) Diniah seramai 35 orang dan 48 calon di SMU (A) Al-Falah,” katanya sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini, hari ini.
Mohd. Zamri berkata, calon-calon SPM di negeri ini menduduki peperiksaan itu 284 pusat peperiksaan.-UTUSAN