Anak syarikat Gamuda Berhad, Gamuda Land baru-baru ini mengadakan majlis pecah tanah bagi membina dua buah sekolah rendah awam iaitu Sekolah Kebangsaan Gamuda Cove dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Gamuda Cove.
Terletak di perbandaran pintar Gamuda Cove yang merangkumi kawasan seluas 1,530 ekar, kedua-dua sekolah itu akan dibangunkan dalam dua fasa dan mampu menampung sehingga 2,400 pelajar melalui 48 kelas apabila siap sepenuhnya.
Fasa pertama bagi kedua-dua sekolah itu disasarkan untuk siap menjelang tahun depan.
Pengerusi Gamuda, Tan Sri Ambrin Buang berkata, kedua-dua sekolah itu adalah langkah awal Gamuda Land dalam merealisasikan komitmen terhadap pembangunan komuniti yang holistik.
“Apabila kami merancang perbandaran Gamuda Cove, visi kami adalah untuk mewujudkan sebuah sanktuari bandar dan bandar pintar membolehkan masyarakat dapat membesar dan menua dengan selesa.
“Dengan memastikan pendidikan disepadukan dalam pembangunan kami, bersama-sama taman awam, pusat komersial, dan kawasan hijau, kami berhasrat untuk menyediakan sebuah kediaman yang kondusif bagi keluarga untuk berkembang maju.
“Sekolah-sekolah ini menjadi bukti komitmen kami untuk membina komuniti yang dinamik dan mampan, di mana penduduk dapat menikmati kualiti hidup yang tinggi,” katanya.
Di samping sekolah rendah awam itu, Gamuda Cove juga telah menempatkan Big Apple Preschool di The Hive, yang menyediakan pendidikan awal kanak-kanak, selain bakal menyambut kehadiran sebuah sekolah antarabangsa mampu milik oleh Taylor’s Education Group, menjelang 2027.
Institusi-institusi pendidikan itu akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pilihan sekolah di kawasan berkenaan.
Dengan sekolah awam terdekat dengan jarak perjalanan 20 minit , sekolah-sekolah baharu tersebut bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk Gamuda Cove, tetapi juga kepada penduduk dari kawasan-kawasan berdekatan seperti Bandar Saujana Putra dan Bandar Rimbayu.
Apabila sekolah-sekolah ini siap pada 2026, Gamuda Cove akan menyerahkan lebih daripada 3,200 unit kediaman, membawa anggaran populasi melebihi 13,000 orang ke perbandaran Gamuda Cove. – UTUSAN