IPOH: Dua beradik maut selepas motosikal mereka terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Pasir Puteh di sini hari ini.
Mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenali sebagai Nur Amira Balqis Armi, 22, dan adiknya, Mohd Amirul, 14.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika Nur Amira yang bekerja di medan selera sebuah pasar raya di sini dalam perjalanan menghantar adiknya ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet.
Kejadian menimpa dua beradik tersebut dikongsikan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How menerusi akaun Facebooknya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi memaklumkan akan membuat semakan berhubung kejadian itu. – UTUSAN