Dua pemenang Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) Nippon, Lew Wai Fong dari Universiti Malaya dan Tan Ee Wei (Kolej Khatulistiwa) baru-baru ini diumumkan sebagai penerima Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) masing-masing bagi kategori Anugerah Emas Seni Bina dan Rekaan Dalaman.
Konsep pertandingan Anugerah AYDA pada 2024 adalah Converge: Glocal Design Solutions, bertujuan untuk menyatukan isu tempatan dan global.
Matlamat utama adalah untuk mengumpulkan pereka bentuk yang peka tentang perubahan dunia dan memberi mereka peluang untuk mereka bentuk penyelesaian bagi menyelesaikan masalah dunia.
Kedua-duanya bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan serantau yang akan datang, dan akan bersaing dengan peserta daripada 19 buah wilayah lain untuk merebut gelaran Pereka Muda Terbaik Asia.
Mereka berpeluang memenangi hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM6,000 dan peluang eksklusif untuk menyertai Program Penemuan Reka Bentuk selama tiga minggu yang ditanggung sepenuhnya di Harvard University Graduate School of Design, Amerika Syarikat, yang bernilai sehingga USD10,000, dijadualkan pada tahun depan.
Sambil menyatakan kekaguman beliau terhadap para pemenang, Pengurus Besar Group Trade Use Business, Nippon Paint Malaysia, Chen Lee Siong, berkata, anugerah tersebut pada 2024 memanfaatkan warisan tempatan kita yang kaya sambil menunjukkan semangat yang mendalam untuk menangani perkara bermakna yang selari dengan cabaran dihadapi rakyat di negara ini.
“Pereka pada hari ini merupakan penyelesai masalah, pembawa pembaharuan dan pemangkin kepada perubahan. Keupayaan untuk menggabungkan pelbagai perspektif dan mencipta reka bentuk yang menyerlah di peringkat tempatan dan global menjadi kemahiran yang akan menentukan generasi pereka hebat pada masa hadapan.
“Menerusi AYDA, kita bukan sahaja mencabar peserta untuk berfikir di luar kotak, malah melengkapkan mereka dengan alatan, bimbingan dan pengalaman yang diperlukan untuk berjaya di peringkat global. ” ujarnya.
Wai Fong, tampil dengan dengan projek bertajuk Tanjung Piai’s Mangrove Living Museum yang meraikan warisan semula jadi Malaysia dengan menggabungkan kelestarian alam sekitar dengan warisan budaya. Muzium ini bertujuan untuk mendidik para pengunjung tentang kepentingan ekologi hutan bakau, memupuk kesedaran alam sekitar sambil menonjolkan kepentingan pemeliharaan ekologi dalam dunia yang pesat membangun.
Muzium ini berfungsi bukan sahaja sebagai ruang pembelajaran dan penemuan tetapi juga sebagai mercu tanda reka bentuk yang mampan. Ia menunjukkan bagaimana seni bina boleh mengharmonikan alam sekitar dan bukannya mengganggunya, seterusnya memberi inspirasi kepada amalan seni bina masa hadapan dengan menggalakkan pereka lain untuk menggabungkan elemen ekologi dan budaya tempatan ke dalam reka bentuk mereka.
Wai Yong melahirkan penghargaannya dengan berkata, AYDA merupakan satu perjalanan yang luar biasa yang telah mencabar dan meningkatkan pemikiran kreatifnya.
“Melalui projek ini, saya berharap dapat mempamerkan keindahan khazanah semula jadi Malaysia dan memberi inspirasi kepada pereka yang lain untuk menggabungkan elemen tempatan ke dalam penyelesaian reka bentuk mereka.”
Menerusi slogan, Planting Roots, Growing Future, seorang lagi pereka, Ee Wei, menawan hati para hakim menerusi HOMESEED iaitu Homeless Resilience Training Centre, sebuah projek berwawasan khusus untuk memperkasakan komuniti gelandangan di George Town, Pulau Pinang. Inisiatif inovatif ini menggabungkan reka bentuk yang bernas dengan impak sosial untuk menyediakan sumber, latihan dan peluang yang berguna untuk berdikari. – UTUSAN