KANGAR: Penggunaan teknologi seperti dron khususnya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang keadaan muka bumi berbukit bukau dan hutan tebal, menjadi antara alternatif terbaik ketika ini dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Teknologi tersebut juga membantu di sebalik betapa mudahnya sempadan Malaysia dibolosi berikutan hampir keseluruhan pintu pagar keselamatan di sepanjang 98.2 kilometer kawasan sempadan negeri ini yang uzur.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pusat Kecemerlangan Pesawat Tanpa Pemandu (COE-UAS), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Dr. Hazry Desa berkata, penggunaan dron memainkan peranan penting bagi meningkatkan kawalan di kawasan sempadan khususnya dalam aspek menyediakan pemantauan yang lebih cekap dan efektif.
Katanya, dron mampu beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca selain pada waktu siang atau malam serta memastikan kawalan berterusan sepanjang masa.
Kata beliau, ia juga mempunyai keupayaan mengakses kawasan yang sukar dijangkau oleh manusia seperti hutan tebal atau kawasan berbukit selain memudahkan pengawasan di kawasan yang berisiko tinggi.
“Tambahan pula, teknologi ini mengurangkan keperluan penghantaran anggota keselamatan ke kawasan yang berbahaya sekali gus meningkatkan keselamatan mereka. Data dan maklumat yang diperoleh melalui dron juga dapat membantu pihak berkuasa membuat keputusan lebih tepat dan pantas dalam mengawal pergerakan di sempadan,” katanya.
Hazry berkata, bagi kawasan seperti sempadan negeri ini yang diliputi hutan tebal dan berbukit, dron yang sesuai digunakan ialah jenis sayap tetap (fixed-wing) atau dron hibrid Vertical Take-Off and Landing (VTOL).
Katanya, dron sayap tetap seperti pesawat tanpa pemandu (UAV) Boomslang AWL 3 pula mampu terbang untuk tempoh yang panjang dengan liputan kawasan luas serta sesuai memantau sempadan besar.
Ujarnya, bagi kawasan berbukit atau dengan laluan yang sempit, dron hibrid VTOL adalah pilihan yang baik kerana ia boleh berlepas dan mendarat secara menegak sambil mengekalkan keupayaan terbang jarak jauh.
“Keupayaan ini memastikan dron boleh digunakan dalam pelbagai keadaan geografi untuk memantau dengan lebih berkesan,” katanya.
Katanya lagi, selain itu, Pusat Kecemerlangan COE-UAS Unimap juga bekerjasama dengan Boomslang dari Turkiye bagi memperkukuhkan pembangunan teknologi dron untuk kegunaan tempatan.
“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Boomslang telah bersetuju melakukan pelaburan di Perlis dengan membangunkan sebuah kilang pembuatan dron di Batu Pahat.
“Projek berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) melibatkan penggunaan sebidang tanah yang sedang dibangunkan dengan infrastruktur bangunan untuk menyokong aktiviti pembuatan dron.
“Dengan kewujudan kilang ini, pembangunan dron yang lebih sesuai untuk operasi di kawasan sempadan berbukit dan berhutan tebal dapat dilaksanakan secara tempatan.
“Dengan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara COE-UAS Unimap dan Boomslang ini sekali gus memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam menyediakan teknologi dron yang canggih dan relevan bagi keperluan keselamatan sempadan serta pelbagai aplikasi lain,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerjasama antara Unimap dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan untuk memperkukuhkan kawalan sempadan melalui penyediaan dron yang canggih dan sesuai dengan keperluan operasi.
Katanya, Unimap sedang berusaha menunjukkan keupayaan dan meyakinkan PDRM bahawa teknologi dron yang dihasilkan oleh anak tempatan mampu memenuhi keperluan operasi dengan cekap dan berkesan.
“Beberapa siri Proof of Concept (POC) akan dijalankan sebagai usaha untuk membuktikan keupayaan ini merangkumi aspek prestasi teknikal, ketahanan dan kemampuan operasi dron dalam pelbagai senario kawalan sempadan. Tujuan utama untuk memastikan teknologi canggih ini dapat membantu meningkatkan keupayaan PDRM dalam pemantauan dan pencegahan jenayah rentas sempadan.
“Dron ini digunakan untuk memantau kawasan strategik, membantu pengawasan jarak jauh, dan mengumpul data penting untuk mencegah jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pencerobohan.
“Bilangan dron yang dibekalkan bergantung kepada keperluan operasi semasa dan bajet yang tersedia, namun setiap dron dilengkapi teknologi terkini untuk memastikan ia memenuhi keperluan keselamatan dengan berkesan,” katanya.
Katanya, dron yang dihasilkannya khusus untuk kawalan sempadan dilengkapi dengan teknologi canggih seperti kamera infra merah, sensor malam dan keupayaan pengesanan automatik.
Ujar beliau, dron tersebut direka dengan rangka yang ringan tetapi kukuh untuk menahan keadaan cuaca yang ekstrim serta salah satu keistimewaan ialah sistem kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengenal pasti aktiviti mencurigakan secara automatik selain memberi amaran kepada operator.
“Selain itu, teknologi komunikasi jarak jauh membolehkan dron beroperasi dalam kawasan yang sukar diakses sambil menghantar data secara langsung ke pusat kawalan. Semua ciri ini memastikan dron dapat menjalankan misi pemantauan dengan lebih efisien dan tepat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya telah melakukan persediaan dengan melatih lebih ramai pegawai dan anggota menerusi kursus pengendalian dron sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang ancaman di sempadan pada masa depan.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri juga menjalinkan kerjasama dengan Unimap dalam usaha untuk mengembangkan penggunaan teknologi itu.
“IPK Perlis juga akan mengadakan lebih banyak perjumpaan dengan pasukan keselamatan di Thailand mengikut jabatan seperti komersial, jenayah dan narkotik. Di samping itu, projek rintis teknologi digital juga telah melalui tempoh percubaan sebelum ini bagi melihat kelemahan dan penambahbaikan boleh dilakukan,” katanya. – UTUSAN