KOTA BHARU: Penggubalan semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan dijangka dapat dilakukan dalam tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud berkata, draf cadangan pindaan kesemua seksyen berkenaan hampir siap dan dapat dibentangkan kepada Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dalam masa terdekat.
Katanya, beliau diamanah mempengerusikan jawatankuasa teknikal pindaan enakmen berkenaan dan telah menjalankan beberapa mesyuarat bersama pakar-pakar perundangan serta pengamal syariah.
“Alhamdulillah, saya telah menemukan cara-cara yang membolehkan kesemua 16 seksyen yang terbatal digubal semula dan seterusnya dikuatkuasakan di negeri ini.
“Saya menjangkakan penggubalan semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dapat dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Julai ini,” katanya semasa berucap pada Ceramah Isu Semasa Pas Kawasan Kota Bharu di Gelanggang Seni, di sini malam ini.
Pada 9 Februari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu manakala kerajaan Kelantan selaku responden tunggal.
Wan Rohimi berkata, selepas kes Nik Elin, Kerajaan Negeri Kelantan diberikan kebenaran untuk menggubal semula kesemua seksyen yang terbatal tetapi ia tidak memberikan penyelesaian tuntas kerana tetap terikat dengan Undang-Undang Persekutuan. – UTUSAN