PUTRAJAYA: Dokumen dikaitkan dengan Titah Adendum dikatakan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaran di bawah tahanan rumah tidak pernah disorok.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, beliau sendiri sebagai Menteri Komunikasi tidak melihat atau dimaklumkan mengenai dokumen tersebut.
“Dokumen yang dimaksudkan itu sejujurnya tidak disorok, saya sendiri sebagai Menteri Komunikasi tidak ada menerima (atau) melihat atau pun dimaklumkan mengenai dokumen tersebut.
“Oleh sebab ia melibatkan Lembaga Pengampunan dan kita juga ambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa supaya kes ini diremit semula ke Mahkamah Tinggi, maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat dari Peguam Negara tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Kelmarin, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sementara itu, ditanya mengapa kerajaan mengambil masa yang agak lama untuk mengakui tentang titah tersebut, Fahmi menjelaskan bahawa segalanya adalah berpandukan kepada proses yang berlaku di dalam mahkamah.
“Dalam hal ini kita berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah. Dan seperti yang Perdana Menteri ada jawab di Parlimen sewaktu sesi PMQT, kita tertakluk kepada prinsip subjudis, maka kita akur dan patuh dengan prinsip itu dan proses di mahkamah itu diteruskan,” katanya.-UTUSAN