Ditipu hampir RM100,000, Naqiu hantar surat tuntutan

Ditipu hampir RM100,000, Naqiu hantar surat tuntutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Naqiu,38, nekad untuk mengambil tindakan terhadap seorang individu yang didakwa telah mengambil kesempatan dengan melakukan penipuan sehingga dia mengalami kerugian sebanyak hampir RM100,000.

Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib berkata, pihaknya telah menghantar surat tuntutan (LOD) terhadap individu itu melalui peguamnya pagi tadi.

“Pada awalnya saya tidak mahu memperbesarkan isu ini tetapi apabila saya diam, seolah-olah saya semakin dipermainkan. Mungkin dia anggap saya penakut dan tak pandai, jadi rasanya sekarang saya kena bertindak.

“Isu ini bukan kali pertama berlaku tetapi apa yang sudah dilakukan individu ini sudah melampau kerana dia juga cuba memburukkan dan mencabar saya.

“Dia menggunakan saya untuk membuat video promosi sebuah jenama yang di luar pengetahuan saya. Selain itu, dia juga ada meminta saya untuk membuat lagu tanpa membuat sebarang pembayaran sekali gus membuang masa saya sepanjang tahun lalu,”katanya.

Naqiu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya yang berjudul Khayalan, di sini, hari ini.

Naqiu hadir bersama peguamnya, Aizat Azam dari tetuan Legalais.

Menurut juara Gegar Vaganza musim keenam (GV6) itu lagi, individu terbabit juga mendakwa kononnya sudah membuat bayaran selain memaksa Naqiu melakukan projek pembikinan sebuah single.

“Saya tidak kenal sangat pun sebenarnya tetapi salah seorang pasukan saya yang memperkenalkannya kepada saya. Dalam satu pertemuan sebelum ini, dia menyatakan hasrat untuk menghasilkan lagu walaupun dia tidak mempunyai bakat.

“Ketika dalam peringkat demo, dia mendakwa saya yang memaksa dia merakamkan single tersebut kepada orang-orang industri seni. Lebih menarik lagi, dia memberitahu sudah membayar kos projek ini sedangkan satu sen pun saya tidak dapat. Malah masa saya yang terbuang.

“Logikkah saya nak paksa untuk seseorang yang tidak berbakat untuk menyanyikan lagu saya sedangkan duit pun saya tak dapat?”ujarnya.

Dalam pada itu, Naqiu memaklumkan pengurusannya iaitu Mindorder turut menerima nasib sama dan turut menghantar LOD kepada individu terbabit.

Sementara itu, ditanya mengenai sekiranya individu terbabit mahu menyelesaikan isu ini di luar mahkamah,Aizat berkata, ia adalah lebih baik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN