Diperdaya ‘Donna’, lelaki rugi lebih RM720,000 - Utusan Malaysia

Diperdaya ‘Donna’, lelaki rugi lebih RM720,000

MOHAMMAD SHOFEE TAYIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Demi meraih keuntungan tinggi, seorang lelaki akhirnya berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM721,226.99 akibat menjadi mangsa penipuan pekerjaan tidak wujud secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Mohammad Shofee Tayib berkata, lelaki  berusia 49 tahun itu membuat laporan polis semalam setelah menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

Katanya,  pada penghujung tahun lalu, lelaki tersebut berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘ Donna’ dan menawarkan mangsa pekerjaan sambilan dalam talian melalui media sosial TikTok.

Menurut beliau, mangsa ditawarkan kadar komisyen tinggi sehingga 25 peratus berdasarkan kepada tugasan yang berjaya diselesaikan.

“Tertarik dengan komisyen yang dijanjikan, mangsa melakukan 101 transaksi  pada hujung Disember lalu dan awal bulan ini ke beberapa buah akaun bank berbeza berjumlah RM721,226.99.

“Suspek telah menyakinkan mangsa akan memperoleh komisyen berjumlah RM1.3 juta dan bagi mengeluarkan nilai duit itu, mangsa diminta membuat pembayaran cukai sebanyak enam peratus daripada jumlah komisyen tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Mohammad Shofee, mangsa yang curiga dengan tindakan suspek telah hadir membuat laporan di Balai Polis Pontian kerana percaya telah diperdaya oleh suspek.

“Walaupun pelbagai peringatan telah diberikan Polis Diraja Malaysia ( PDRM ) kepada orang ramai mengenai bahaya penipuan  pekerjaan tidak wujud, namun masih ada yang percaya.

“Orang ramai diminta lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pekerjaan di media sosial yang menjanjikan komisyen tinggi melalui cara yang mudah,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih sepuloh tahun dengan sebatan dan juga denda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya