Dina Nadzir tidak menyorokkan malah terbuka menceritakan masalah kemurungan dan gangguan jiwa yang dialaminya kepada umum.
Berkongsi pengalaman, Dina menceritakan pernah hampir melakukan tindakan luar kawalan gara-gara masalah tersebut.
Katanya, disebabkan itu dia terpanggil untuk berkongsi cerita untuk menjadi pengajaran buat mereka yang berdepan masalah yang sama.
“Ada satu masa, saya pernah hampir mahu menelan pelbagai ubat dalam satu masa hanya kerana masalah sakit kepala. Ia berlaku ketika keadaan minda saya tidak mampu berfikir dengan betul.
“Tetapi nasib baik saya sempat sedar daripada keadaan tersebut. Sejak itu, saya tidak berani makan ubat kalau kepala sedang sakit.
“Kemurungan bukan masalah kecil. Sebab itu saya merasakan penting untuk saya ceritakan kisah saya dan bagaimana saya mengatasinya agar orang lain juga boleh melakukan perkara yang sama,” kongsinya.
Mujur Dina tidak menyembunyikan masalah kemurungannya, akhirnya penyanyi berusia 39 tahun ini bertindak berkongsi perkara itu dengan doktor pakar.
“Ahli terapi memaklumkan kemurungan yang saya alami ini salah satunya berpunca daripada
perasaan sedih akibat kesunyian.
“Kalau difikirkan semula, ada betulnya kerana saya kehilangan orang yang saya sayang seperti arwah Adibah Nor dan arwah bapa saya dalam tahun yang sama.
Selain emak dan adik beradik, dua insan inilah tempat untuk saya kongsikan banyak cerita.
“Tapi saya kena berdamai dengan takdir dan terukan hidup tanpa mereka dan lakukan aktiviti yang boleh menggembirakan hati saya seperti selam skuba dan sebagainya,” kongsinya.
Dina dalam pada itu bersyukur usahanya membuahkan hasil. Ibaratnya, dia nampak cahaya di hujung terowong yang gelap.
“Apa yang boleh saya katakan, sudah empat bulan saya tidak diserang dengan masalah ini (kemurungan).
“Alhamdulillah, mungkin ini disebabkan perubahan gaya hidup, berat badan serta sokongan dari mereka yang prihatin terhadap saya.
“Dan yang paling penting, sokongan dari rakan artis, contohnya seperti pelakon, Farah Ahmad yang memaklumkan dia sedia mendengar perkongsian saya mengenai masalah kemurungan yang saya deritai ini.
“Saya tak pasti apa yang saya alami ini sudah berakhir sepenuhnya atau belum kerana adakalanya, perasaan sedih itu datang dan terasa diri ini banyak kekurangan.
“Tapi buat masa sekarang, saya tidak lagi alami serangan serius,” katanya.-UTUSAN