KEMAMAN: Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah yang mengaitkan dirinya dengan kes pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, di sini, Jumaat lalu.
Razali yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri berkata, gambarnya disalah guna oleh individu tertentu dengan dimuat naik di laman sosial Facebook dan dikaitkan dengan suspek kes itu.
“Gambar yang berbaju hijau tular dalam laman sosial itu adalah gambar saya dan bukannya gambar suspek.
“Saya kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab ini yang memfitnah saya terlibat dalam insiden itu,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, hari ini.
Razali berharap polis akan mengambil tindakan tegas dan beliau turut berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan saman ke atas beberapa pemilik akaun media yang telah dikenal pasti. – UTUSAN