KUALA LUMPUR: Kerap menerima komen negatif dan berbaur fitnah, pelakon, Sherry Ibrahim kini bangkit melawan segala penindasan yang menghimpit dirinya.
Sherry atau nama lengkapnya Syarizad Ibrahim, 41, berkata, kisah silamnya sudah lama terkubur dan dia juga tidak mampu menutup mulut segelintir pihak yang tidak tahu tentang perkara sebenar.
“Kita tidak boleh kawal tanggapan orang terhadap diri kita. Apa orang nak kata dan fikir, pada akhirnya mereka tidak mengenali siapa saya.
“Banyak benda yang saya berdiam. Berdiam dan sabar itu memang bagus tetapi kadang-kadang ditindas dan dipijak sekiranya berterusan.
“Saya tak perlu jelaskan ataupun bercerita secara terang-terangan. Apa yang berlaku sebelum ini adalah masa lalu dan sejarah hidup saya,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana drama bersiri Gadis Masa, Selasa lalu.
Sherry berkata demikian selepas didakwa masih belum ‘move on’ dari kisah lalunya dan kerap meroyan oleh seorang pengguna TikTok, baru-baru ini.
Enggan setiap perkongsiannya disalah ertikan, Sherry menyifatkan dakwaan yang dilemparkan sangat keterlaluan dan boleh menimbulkan perbalahan pihak lain.
“Orang tidak tahu dan anggap apa sahaja yang mereka mahu anggap. Tapi adakalanya perkara itu jadi sangat keterlaluan sehingga boleh menimbulkan fitnah, perbalahan dan pergaduhan.
“Walhal, niat saya daripada awal tidak sebegitu. Saya bukan baru dalam industri ini. Saya sentiasa bekerja keras untuk segalanya. Mungkin itu adalah pahala percuma untuk saya dan saya terima sahaja,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelakon drama Teduhan Kasih itu memaklumkan setakat ini tiada pihak yang tampil memohon maaf kepadanya setelah diberi amaran tempoh hari.
Sherry bagaimanapun tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya sekiranya perkara itu berlarutan dan melampaui batas.
“Tidak ada pihak yang meminta maaf. Tapi sekarang ini komen negatif itu semakin kurang. Kita perlu beri amaran kerana saya perlu menjaga kesihatan mental saya juga.
“Saya sebenarnya tidak suka baca komen. Tetapi kebanyakkannya memang keterlaluan. Sebelum ini saya memang berdiam tetapi tidak adil bagi saya kerana saya ada hak untuk bersuara.
“Ada saja peguam yang datang pada saya dan katakan perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Saya juga ada had kesabaran. Saya tidak suka besarkan perkara yang kecil walaupun saya tidak sampai hati.
“Saya juga tidak sukakan drama, tetapi sekiranya perkara itu melampaui batas saya akan ambil tindakan,” katanya