KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa mendedahkan data mengenai kadar poteng sekolah dalam kalangan pelajar di seluruh negara bagi mencari solusi kepada masalah yang kritikal itu.
Pakar pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ponteng sekolah adalah isu besar dalam sistem pendidikan dan apabila ia semakin kritikal, maka akan timbul pelbagai isu pendidikan lain.
Sehubungan itu, kata beliau, KPM perlu mendedahkan data terkini tersebut yang mengandungi negeri dan daerah mana mempunyai kadar poteng sekolah paling tinggi.
“Tanpa data rasmi, akan sukar wujudnya kesedaran ibu bapa dan masyarakat tentang isu ponteng sekolah.
“Kajian pendidikan menunjukkan sebahagian besar isu disiplin dan keciciran murid asalnya bermula dari isu ponteng sekolah. Malah isu ramai calon tidak hadir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun sebenarnya bermula dari isu ponteng sekolah juga,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, peratusan kehadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di hari pertama ujian bertulis peperiksaan itu mencapai 97 peratus.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang mengesan kira-kira 10,000 calon SPM yang belum mengesahkan kehadiran mereka.
Mengulas lanjut, Dr. Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) berkata, isu pendidikan perlu diselesaikan melalui ‘akarnya’.
“Sekolah yang mempunyai kadar ponteng sekolah yang tinggi mesti dibantu. Letakkan Pengetua atau Guru Besar (PGB) cemerlang di sekolah tersebut, letakkan guru cemerlang dan wujudkan projek khas untuk tingkatkan infra sekolah.
“Janganlah hanya di sekolah hebat dan premier sahaja ada PGB cemerlang dan guru-guru cemerlang,” katanya.
Tambahnya, KPM dan pihak sekolah juga perlu menggalakkan budaya positif dengan mengiktiraf bakat serta kebolehan murid.
“Tidak semestinya semua murid akan minat dan cemerlang akademik. Ada murid yang berbakat dalam muzik, sukan, seni lukis, nyanyian, inovasi, berkebun dan sebagainya. Iktiraf semua bakat murid di sekolah.
“Rasa sayang murid pada sekolah dan keinginan yang tinggi untuk ke sekolah hanya akan timbul bila mereka tahu mereka dihargai oleh pihak sekolah.
“Murid-murid yang dilabel ‘kaki ponteng’ pun manusia juga. Cari ‘soft spot’ mereka. Memang tidak mudah tetapi berbaloi untuk diselesaikan,” katanya.