PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib menafikan perbualan telefon di antaranya dengan bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Mohd. Bakke Salleh sadalah untuk mempengaruhi Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu berhubung usaha sama di antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd. (PSI).
Sebaliknya panggilan yang dibuat oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebelum diserahkan kepada Mohd. Bakke hanyalah untuk memberi taklimat ringkas mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi melalui Projek Aria yang akan dijalankan secara usaha sama.
Najib juga menafikan bahawa beliau mengetahui mesyuarat yang diadakan pada 26 September 2009 adalah bagi membincangkan cara wang RM5 bilion yang dikumpul melalui penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) akan dilaburkan.
“Saya bercakap dengan Bakke kerana tumpuan utama saya ketika itu adalah mengenai usahasama strategik kedua-dua negara. Pada ketika itu saya tidak mencurigai atau merasa pelik apabila Jho Low meminta saya bercakap dengan Bakke.
“Saya cuma maklumkan kepadanya untuk membuat satu keputusan yang baik untuk kedua-dua negara dan mereka (Lembaga Pengarah 1MDB) sepatutnya telah menjalankan tindakan usaha wajar (good governance),”kata Najib.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib kemudian bertanya kepada Najib sama ada beliau selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan, pemegang tunggal saham 1MDB dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MBD pernah membuat semakan mengenai pelaburan dengan PSI.
Najib: Itu tugas Lembaga Pengarah 1MDB dan Wong & Partners (firma guaman yang mengendalikan perjanjian usaha sama antara syarikat).
Ahmad Akram: Tapi Datuk Seri ada buat semakan tak?
Najib: Saya andaikan Lembaga Pengarah akan buat, Wong & Partners akan buat dan Jho Low akan taklimatkan mereka (Lembaga Pengarah) mengenai perkara yang perlu dibuat.
Ahmad Akram: Sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, pemegang tunggal saham 1MDB dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MBD, Datuk Seri sering membuat pelbagai andaian.
Datuk Seri andaikan Jho Low akan beritahu mengenai PSI,andaikan Jho Low akan beri taklimat mengenai usaha sama, andaikan Lembaga Pengarah 1MDB akan buat keputusan yang sewajarnya. Apa yang Jho Low cakap satu perkara je, Datuk Seri terus percayakan dia.
Najib: Tidak, saya mahu dia (Jho Low) untuk bentangkan kepada Lembaga Pengarah. Dia mewakili Putera Turki (anakanda kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah).
Menurut kes pendakwaan, satu usaha sama palsu antara 1MDB dan PSI dikenali projek Aria diwujudkan tertuduh (Najib) dengan 1MDB meminjam AS$1 bilion kononnya untuk melabur dalam syarikat usaha sama dikenali 1MDB-PSI.
Bagaimanapun, usaha sama itu tidak dimasuki dengan PSI, sebaliknya melalui satu syarikat PetroSaudi Holding (Cayman) Ltd dan Tariq Obaid (kenalan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low) melaksanakan perjanjian bagi mewakili Petro Saudi (Cayman).
Selain itu, walaupun berulang kali pihak pembelaan membangkitkan isu mengenai tandatangan Najib yang telah dipalsukan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu mengakui sehingga ke hari ini, tiada sebarang laporan polis mengenai perkara itu dibuat.
Terdahulu, Najib juga menafikan bahawa beliau telah memberi tekanan kepada Rakan Kongsi Urusan KPMG, Datuk Johan Idris untuk menutup penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan 2013.
KPMG ketika itu belum menandatangani laporan audit 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013, kerana syarikat pelaburan strategik negara itu tidak memberikan maklumat yang diminta KPMG sejak April 2013.
“Saya tidak mengarahkan (untuk tutup penyata kewangan). Saya cuma minta mereka memberikan resolusi yang sewajarnya. Ketua Audit Negara pun saya tak boleh arahkan, macam mana saya hendak arah mereka (KPMG).
“Kalau saya beri arahan pun, KPMG tidak sepatutnya mengikut arahan saya. Mereka adalah sebuah syarikat audit yang terkemuka,”katanya.
KPMG ditamatkan perkhidmatan sebagai juruaudit 1MDB selepas menolak pendaftaran audit akaun 1MDB untuk tahun kewangan 2013 dan kemudiannya digantikan oleh firma audit Deloitte untuk tahun kewangan 2013 dan 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok. – UTUSAN