Dasar Waktu Bekerja Berlainan tambah beban petugas kesihatan - MCA

Dasar Waktu Bekerja Berlainan tambah beban petugas kesihatan – MCA

SISTEM tersebut berkemungkinan akan memburukkan lagi kebimbangan orang ramai dan menghalang individu lain dari meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan untuk mengimplementasikan dasar Waktu Bekerja Berlainan (WBB) dalam sistem kesihatan awam dibimbangi akan menyebabkan petugas kesihatan terbeban dan tiada lagi individu yang ingin memasuki kerjaya tersebut.

Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, dasar WBB tidak sesuai untuk diemplementasikan ekoran negara masih berdepan dengan masalah kekurangan petugas kesihatan.

Kata beliau, sistem tersebut berkemungkinan akan memburukkan lagi kebimbangan orang ramai dan menghalang individu lain dari meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan.

“Adalah tidak adil untuk menahan elaun bagi mereka yang bekerja syif 18 jam, kerana kepakaran dan dedikasi mereka adalah penting untuk mengekalkan integriti sistem penjagaan kesihatan negara.

“Jika sistem ini dilaksanakan, tidak dinafikan ia akan memberi kesan negatif kepada petugas perubatan itu sendiri, pesakit dan sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dasar WBB akan diputuskan selepas sesi pemukiman KKM melibatkan pimpinan tertinggi hujung minggu ini.

Kata beliau, dasar WBB dalam sektor kesihatan awam mampu mengurangkan ‘beban’ yang perlu ditanggung oleh pegawai dan pakar perubatan.

Jelasnya, dasar tersebut akan mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan yang terlibat dan memastikan mana-mana pegawai tidak bertugas melebihi 24 jam.

Mengulas lanjut, Lawrence berkata, 18 jam bukan tempoh yang pendek terutama apabila petugas kesihatan perlu sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit.

“Profesional penjagaan kesihatan ini akan mengalami keletihan yang melampa akan mengurangkan keupayaan fizikal mereka untuk bekerja dengan berkesan.

“Ini juga boleh mendedahkan mereka kepada risiko kecederaan atau kemalangan semasa bekerja. Keletihan boleh menyebabkan tekanan yang seterusnya boleh mengurangkan kualiti kerja mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, petugas kesihatan sepatutnya mendapat pengiktirafan dari kerajaan kerana tanggungjawab mereka dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang baik sampai kepada rakyat.

“Sekiranya kerajaan gagal memberikan elaun atau insentif lebih masa, ia akan melemahkan semangat pekerja penjagaan kesihatan, akhirnya menjejaskan kualiti keseluruhan sistem penjagaan kesihatan,” katanya.

Tambahnya, MCA yakin kerajaan sedar mengenai kebaikan dan keburukan cadangan dasar WBB.

“Kami menyokong penuh sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan pelaksanaannya sehingga masa yang lebih sesuai.

“Pelaksanaan sistem ini tidak seharusnya mengakibatkan kekurangan pekerja perubatan yang lebih besar, sama ada melalui peletakan jawatan untuk bekerja di luar negara atau khususnya di kalangan generasi muda yang kehilangan minat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya