PUTRAJAYA: Kerajaan akan meningkatkan peruntukan RM15 juta yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak kepada RM30 juta yang mana baki jumlah RM15 juta bakal dibiayai pihak swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan diguna bagi meningkatkan program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa disertai.
“Dana ini juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total daripada setiap sudut.
“Ia bagi memastikan para pemain kebangsaan mendapat sokongan berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata, usaha itu juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah-23 negara.
Jelasnya, usaha itu secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman.
“Selain daripada ikhtiar dilakukan oleh kerajaan dan FAM, saya berharap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail akan terus memberikan dukungan berterusan berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas baginda dalam industri bola sepak.
“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai serta dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya,” katanya.
Anwar juga berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kepercayaan
kepada pasukan Harimau Malaya termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa. – UTUSAN