KANGAR: Kem Aulad Soleh (KAS) bertujuan menyediakan pendidikan asas agama sejak di peringkat awal menarik penyertaan lebih 700 peserta dalam kalangan kanak-kanak dan remaja peringkat menengah.
Kem siri pertama berlangsung selama empat hari sehingga kelmarin di Kompleks Pendidikan Maahad Tarbiyah Imam An-Nawawi (Matin) di sini, menyediakan pelbagai aktiviti keagamaan seperti kelas celik Iqra’ dan al-Quran, pengajaran rukun iman dan Islam serta praktikal wuduk serta solat, malah peserta turut menyertai pertandingan hafazan dan kuiz berkaitan surah, doa dan hadis pilihan.
Mudir Matin, Yussaine Yahya berkata, penyertaan memberangsangkan, mencerminkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dalam memberikan pendidikan agama yang lebih kukuh kepada anak-anak.
Katanya, masyarakat Islam sememangnya memerlukan program seperti ini yang diharap dapat memberi manfaat.
“Program diisi dengan pelbagai aktiviti yang tidak hanya mengutamakan pembelajaran teori sebaliknya amalan praktikal yang dapat memperkukuh iman dan takwa.
“Program seumpama ini akan dijalankan secara berkala sama ada sebulan, dua atau tiga bulan sekali dan saya berharap program ini dapat diteruskan dan berkembang selepas ini.
“Kita juga akan terus berusaha meningkatkan kualiti pengisian yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya pada majlis penutup kem di sini, semalam.
Yussaine turut menzahirkan terima kasih kepada ibu bapa yang memberi kepercayaan kepada pihak penganjur untuk menguruskan anak-anak mereka sepanjang kem berlangsung.
Katanya, ibu bapa diharap melihat ia sebagai peluang memperoleh pahala berterusan di sisi Allah SWT.
“Semoga apa yang dipelajari peserta sepanjang kem berlangsung, dimanfaatkan dalam kehidupan seharian dan dapat mengamalkan ilmu diperolehi dengan menjaga amal ibadat,” katanya. – UTUSAN