PETALING JAYA: Mengalami kecacatan kekal sejak usia empat tahun, penyanyi, Zubir Khan bermimpi masih mempunyai tangan yang sempurna.
Ujar Zubir atau Muhammad Zubir Muhammad Ali, 25, dia merindui tangan kanannya yang putus akibat kemalangan mesin kek dan berkongsi perasaannya kepada peminat.
“Saya bermimpi masih ada tangan. Bagi saya, selain manusia, tiada salahnya untuk kita merindui perkara lain termasuklah tangan sendiri. Dalam mimpi itu, saya bergaya macam orang ada tangan.
“Saya bukan tidak bersyukur. Di dunia ini kalau Allah ambil sesuatu, Dia akan gantikan dengan yang lain.
“Dulu saya pernah anggap tangan saya tidak berguna, tapi sekarang saya boleh buat banyak perkara termasuk memandu dan bonceng motor,” katanya.
Zubir mengulas mengenai foto dirinya mempunyai sepasang tangan sempurna yang mencuri tumpuan ramai di aplikasi TikTok.
Penerima Anugerah Muhibbah, Kelab Akhbar Kebangsaan 2024 itu juga terharu apabila seorang peminat menyunting foto milik penyanyi Yennode Matcha itu sebagai hadiah.
“Saya kongsikan kepada semua kerinduan itu. Kalau anggap saya tidak bersyukur, terpulanglah. Kita tidak boleh puaskan hati semua.
“Ada yang baik hati mahu suntingkan gambar seolah-olah saya ada sepasang tangan. Saya ucap terima kasih kepada individu itu,” jelasnya. -UTUSAN