PUTRAJAYA: Pasukan petugas khas bebas yang menyiasat insiden kematian pakar perubatan pataologi di Lahad Datu, Sabah pada Ogos tahun lalu mendedahkan bahawa dakwaan mendiang Dr Tay Tien Yaa ditindas dan dizalimi di tempat kerja adalah tidak berbangkit.
Tan Sri Borhan Dollah yang mempengerusikan pasukan itu berkata, mereka menggunakan kaedah analisis kuantitatif dan kualitatif dengan menemu bual seramai 19 orang saksi yang terdiri daripada empat ahli keluarga, 11 kakitangan Hospital Lahad Datu termasuk empat saksi lain serta ketua jabatan patologi.
Menurut beliau, pasukan petugas khas itu turut menyemak sebanyak 41 dokumen yang terdiri daripada gambar, rakaman video, laporan perubatan dan laporan polis selain turut melakukan lawatan ke jabatan berkenaan termasuk rumah sewa mendiang.
Jelasnya, empat isu yang disiasat adalah berkaitan dengan dakwaan mendiang dibebani dengan tugasan, menjadi rujukan pegawai perubatan yang di luar bidang kerja, ditindas dan dizalimi oleh ketua jabatan ketika bertugas serta berkenaan permohonan untuk dikekalkan di Semenanjung.
“Dapat kita rumuskan bahawa apa yang dikatakan selama ini bahawa mendiang Dr. Tay ditindas, dizalimi dan dibuli oleh ketua jabatan adalah tidak berbangkit. Malah kalau kita lihat daripada segi dapatan hasil kerja mereka bekerja sebagai satu kumpulan yang baik, sentiasa berhubung dan saling membantu dalam urusan kerja masing-masing.
“Itu sahaja dapatan kita for the time being bahawa dapat kita rumuskan (mengenai) dakwaan keluarga bahawa mendiang Dr. Tay ini dibuli oleh ketua jabatan adalah tidak berlaku sedemikian berdasarkan kepada keempat-empat isu yang dibangkitkan oleh pengadu,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pakar di hospital Lahad Datu ditemukan mati di kediamannya pada 20 Ogos tahun lalu, dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja.
Seterusnya, pada Oktober 2024, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas bebas berkuat kuasa 10 Oktober bagi menyiasat insiden tersebut.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai empat isu yang disiasat, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam itu berkata, mendiang juga tidak dibebani dengan tugas pakar di luar skop kerja seperti yang didakwa.
“Terdapat empat isu yang dibangkitkan dalam aduan (ahli keluarga mendiang) dengan isu pertama adalah mengenai mendiang telah dibebani dengan tugas pakar di luar skop kerja yang terlalu berat. Hasil daripada siasatan, kita mendapati tugasan dilakukan oleh mendiang adalah seperti mana ditetapkan dalam senarai tugasan atau job description tidak ada satu pun yang kita dapati tugas-tugas itu di luar skop atau di luar bidang tugas mendiang.
“Selaku Timbalan Ketua Jabatan 1, mendiang Dr. Tay juga bertanggungjawab untuk menguruskan perolehan, isu penjagaan stor dan sebagainya. Kita nampak di situ tidak timbul (isu bebanan) berdasarkan bukti dokumen dan temu bual itu, kita tidak nampak sebarang isu berkaitan bahawa mendiang dibebankan dengan kerja yang terlalu banyak, begitu juga dengan tugas-tugas di luar daripada skop,” ujarnya.
Borhan berkata, isu kedua adalah mengenai dakwaan mendiang dibebani sebagai tempat rujukan pegawai perubatan yang di luar bidang kerjanya, namun pasukan petugas yang menjalankan siasatan tidak menemui sebarang bukti berhubung perkara itu.
“Mendiang Dr. Tay (didakwa) dirujuk sebagai pegawai perubatan bagi urusan-urusan yang di luar bidang, itu juga kita tidak jumpa sebarang bukti. Kalau ada pun dalam tugasan on-call di mana semasa kita bertugas, kita kena menjawab semua soalan yang didatangkan dari pelbagai bidang, ini ada tiga bidang di bawah patologi. Jadi bila-bila masa beliau boleh merujuk kepada rakan-rakan dalam bidang lain kerana mereka ada kumpulan sembang masing-masing.
“Yang ketiga adalah berkaitan dengan isu tuduhan atau dakwaan ketua jabatan itu tidak bertindak sebagai pemimpin dalam jabatan dan kenyataan yang dibuat adalah ketua jabatan ini telah menindas dan menzalimi mendiang semasa bertugas di samping beban kerja itu.
“Kita dapati bahawa berdasarkan siasatan, tidak timbul isu itu. Mereka bekerja sebagai profesional, ada kumpulan sembang, ini dapat dibuktikan daripada temu dengan rakan-rakan lain dan juga pegawai bawahan, pegawai perubatan dan sebagainya.
“Jadi tidak timbul soal bahawa mendiang dizalimi, tiada pun sebarang insiden yang diadukan kepada kita melalui temu bual itu bahawa HOD ini dan juga mendiang dilihat bertengkar atau bergaduh,” katanya.
Katanya lagi, mengenai isu keempat yang mengatakan bahawa mendiang ada memohon untuk dikekalkan di Semenanjung dan tidak mahu bertukar juga tidak dapat dibuktikan.
“Hasil dapatan kita mendapati, tidak ada pun dari bahagian Sumber Manusia mengenai sebarang rayuan yang sedemikian seperti mana didakwa,” katanya. – UTUSAN