Dakwa pemilik kenderaan perdagangan cuai - Utusan Malaysia

Dakwa pemilik kenderaan perdagangan cuai

MUHAMMAD Kifli Ma Hassan (kiri) memeriksa kenderaan pada Op bersepadu Khas pada Ambang Tahun Baharu di Kota Bharu, Kelantan, malam tadi. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak berkompromi dan mengambil tindakan tegas mendakwa pemandu  kenderaan perdagangan terutama lori dan treler yang cuai sehingga terbabit dengan kemalangan di mahkamah.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, proses pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 57 Akta 715 kerana kesalahan Melanggar Lesen Pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan ke atas pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, bermula Julai tahun lalu, JPJ mengeluarkan sebanyak lapan kertas siasatan ke atas lori dan treler yang terlibat dengan kemalangan.

“Kita memberi amaran  keras kepada semua pemilik lesen perdagangan kerana kesalahan yang sama masih berulang. Sekiranya berlaku kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu,  tindakan tegas akan diambil kepada semua pemilik kenderaan,” katanya pada Op Khas Motosikal Bersepadu sempena malam tahun baharu 2025 di Akademi JPJ Wilayah Timur, di sini, semalam.

Mengulas lanjut Muhammad Kifli berkata, Operasi Khas Gempur Teknikal yang diadakan di seluruh negara merekodkan sejumlah 23,020 kenderaan perdagangan diperiksa dalam tempoh enam hari bermula 25 Disember lalu.

Menurutnya, berdasarkan notis kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi itu, lebih 2,000 kenderaan perdagangan dikesan melakukan kesalahan teknikal seperti tidak selenggara kenderaan dengan baik, tayar tidak mengikut spesifikasi dan tayar haus.

“Sebanyak 3,864 notis dikeluarkan terhadap kenderaan barangan, 2,627 diambil tindakan dan 14 turut disita.  Tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di seluruh negara,” katanya.

Ujarnya lagi, operasi sama turut melibatkan pemeriksaan ke atas 2,211 kenderaan perkhidmatan awam seperti bas ekspres dengan 140 notis keluarkan, 33 diambil tindakan manakala satu disita.

“Kita akan terus memberi tumpuan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan berdasarkan beberapa kesalahan termasuk lebih muatan, kesalahan teknikal, kesalahan dokumentasi, kesalahan lalu lintas juga kesalahan teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya