PUTRAJAYA: Setelah sembilan bulan berkahwin, pelakon dan pelawak Along Cham mengesahkan bakal menfailkan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Sepang, Selangor dalam masa terdekat.
Menurut Along dan Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, dirinya nekad berbuat demikian selepas mendakwa isterinya melanggar tiga perjanjian taklik yang dipersetujui.
“Ya, saya akan failkan dan pengesahan lafaz taklik terhadap isteri di Mahkamah Rendah Syariah Sepang sebab alamat rumah saya di bawah mukim Sepang. Memang mengejutkan semua dan semua ibarat drama yang ada ‘plot twist’.
“Sebelum ke mahkamah untuk failkan pengesahan itu, saya perlu dapatkan beberapa dokumen penting seperti sijil nikah termasuk kad pengenalan saya yang masih dalam simpanan ‘mak lampir’ (Afreena).
“Dia langgar taklik itu beberapa bulan yang lalu iaitu pada tahun lepas. Buat masa sekarang saya tak boleh nak cerita panjang sebab semuanya masih belum selesai,” katanya.
Difahamkan, antara perjanjian taklik yang dilanggar Afreena ialah tidak patuh dan membelakangkan suami.
Tambah Along, dia sepatutnya memfailkan lafaz cerai taklik tersebut pada 16 Disember lalu, namun dia ditahan pihak polis pada 14 Disember atas dakwaan memiliki dadah.
Along juga sempat menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi bahawa isu perceraian ini berpunca daripada kes dadah.
“Jadi, ini tindakan pertama saya lakukan selepas keluar dari ‘madrasah’ (penjara) semalam. Kepada netizen, belajarlah agama lebih tinggi sebab lafaz taklik ini tiada kaitan dengan kes saya ditahan sebab isu dadah.
“Tolong ya, bila cetek ilmu agama, jangan buat penilaian sendiri,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelawak itu juga tidak menafikan keutuhan rumah tangganya tergugat kerana wujudnya orang ketiga.
“Orang ketiga itu ada tetapi bukan berkaitan isu curang. Namun, saya tak boleh memberi huraian lanjut. Padan muka saya, ‘menggelenyar’ sangat nak kahwin.
“Memanglah sedih sebab pasangan mana yang berkahwin hendak bercerai. Saya sudah habis sayang rumah tangga saya dan agak terkejut sebab dia masih melanggar juga,” jelasnya.
Hari ini, Along dilaporkan bakal memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap Afreena di Mahkamah Syariah Putrajaya.
Along dan Afreena, 32, mendirikan rumah tangga pada 4 April lalu.
Untuk info, Along pernah mendirikan rumah tangga dengan Zila Seeron, 35, bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) pada 23 Januari 2010 namun, bercerai pada 13 Ogos 2016
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14.-UTUSAN