LENGGONG: Permintaan daging rusa yang diternak di sini meningkat sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina biarpun harganya semakin meningkat.
Pengurus Ternakan Rusa dan Agro Pelancongan Prospek Lenggong, Muhammad Izwan Noor Azman berkata, jumlah daging yang terjual adalah hampir 200 kilogram dan permintaan kali ini bertambah berbanding sambutan tahun-tahun sebelumnya.
Malah pihaknya terpaksa mengehadkan jumlah pengeluar daging bagi mengawal bilangan rusa kerana bakal berdepan permintaan tinggi pada bulan Ramadan dan Syawal nanti.
“Pembeli terdiri daripada pelbagai latar belakang dengan kebanyakkannya adalah penduduk setempat, restoran yang menyediakan menu daging rusa, agensi kerajaan dan mereka yang tinggal luar daripada kawasan Hulu Perak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Projek ternakan itu bermula pada tahun 2020 dan mendapat sokongan agensi kerajaan sebagai usaha keterjaminan makanan dan kegiatan ekonomi luar bandar.
“Daging rusa bertulang yang lembut dah kurang lemak kebiasaanya dimasak sup atau kari, manakala daging biasa dimasak dendeng,” katanya.
Rusa ternakan di Lenggong itu ialah jenis baka timorensis dengan jumlah semasa sebanyak 220 ekor di atas tanah berkeluasan lebih 20 hektar.
Seekor rusa yang disembelih, dibersihkan dan dipotong kepada beberapa bahagian boleh menjana berat daging sehingga 60 kilogram.
Mengenai harga daging, dia berkata berlaku peningkatan daripada RM75 sekilogram kepada RM80 sekilogram yang didorong kenaikan kos terutama kesan penyelarasan harga diesel.
“Daging rusa semakin popular dalam pasaran dan kami cuba mengeluarkan daging dengan potongan secara premium termasuk daripada segi pembungkusan untuk memberi nilai tambah penjualan produk daging,” katanya. – UTUSAN