KOTA BHARU: Seorang pemuda yang ditahan di Thailand kerana disyaki memiliki dadah dan air ketum dianggarkan bernilai RM120,000 adalah rakyat Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, lelaki yang berusia 24 tahun itu adalah pekerja kepada pengedar yang berasal dari Pulau Pinang manakala teman wanitanya rakyat Laos.
Katanya, hasil siasatan mendapati semua dadah yang dirampas itu untuk pasaran di Thailand.
“Lelaki terbabit adalah rakyat Kelantan dan bekerja dengan pengedar terbabit untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah.
“Kita sudah pantau kemasukan pengedar terbabit dari Malaysia ke Thailand melalui Kelantan dan setakat ini dadah yg dirampas di Thailand itu untuk pasaran di Thailand,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu pejabat Polis Kontinjen(IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mohd.Yusoff berkata, siasatan lanjut dilakukan oleh polis Thailand.
Seorang rakyat Malaysia dilaporkan dicekup di Sungai Golok, Thailand selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan sindiket pengedaran dadah dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM120,000 pada Isnin lalu. – UTUSAN