Lima termasuk tiga sekeluarga pada ditahan malam tahun baharu

Dadah: Lima termasuk tiga sekeluarga ditahan pada malam tahun baharu

Dadah sekeluarga
HUSSEIN Omar Khan menunjukkan antara dadah yang dirampas polis dalam dua tangkapan berasingan sekitar Klang dan Shah Alam, pada sidang akhbar dekat Mes Pegawai Kanan, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis menahan lima individu termasuk pasangan suami isteri dan anaknya yang dikesan terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dalam kes berasingan di Klang dan Setia Alam pada malam ambang tahun, 31 Disember lalu.

Susulan penahanan itu juga, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seperti ganja, ekstasi, syabu, heroin, methylenedioxy-methamfetamin (MDMA) dan ketamin dengan jumlah berat 15.508 kilogram serta cecair syabu sebanyak 2.24 liter bernilai keseluruhan RM1.08 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan tersebut dibuat menerusi siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Shah Alam antara pukul 6.40 petang hingga 9.30 malam.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sekitar daerah ini, Klang Utara dan Ampang Jaya.

“Suspek pertama berusia 30-an ditahan ketika sedang memandu sebuah Proton X70 di sekitar Klang dan selepas siasatan dijalankan, suspek memandu arah polis ke sebuah rumah di kawasan sama dan merampasi dadah MDMA dan ketamin masing-masing seberat 155 dan 0.59 gram (g).

“Susulan itu, juga suspek mendedahkan sebuah unit kondominium dekat Setia Alam yang disewanya untuk dijadikan sebagai makmal mini. Di rumah tersebut, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi, syabu, heroin dan mesin pemproses ekstasi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, pada 9.30 malam pula, polis menahan sepasang suami isteri dan anak perempuan mereka ketika sedang menaiki sebuah Proton Saga di sekitar Setia Alam dan merampas ganja seberat 316 g.

“Susulan penangkapan tersebut, polis menahan seorang lelaki tempatan dekat sebuah rumah di sekitar Ampang Jaya dan merampas ganja seberat 6.4 kg. Dua daripada mereka bekerja sebagai penghantar barang dan tukang masak di kantin sekolah. Anak perempuan masih bersekolah dan ibunya tidak,” jelasnya.

Kata Hussein lagi, polis turut merampas barangan lain seperti kedua-dua buah kereta dan peralatan lain dan wang tunai berjumlah RM107,013. Keseluruhan nilai sitaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 berjumlah RM187,813.

“Kesemua suspek ditahan reman bermula 1 hingga 8 Januari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati, penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

“Keseluruhan dadah yang dirampas dipercayai untuk edaran di sekitar Lembah Klang. Dadah yang dirampas kali ini boleh dibekalkan kepada 38,324 pengguna dalam sehari,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya