Cubaan seludup di sebalik pakaian terpakai gagal

Cubaan seludup di sebalik pakaian terpakai gagal

ROHAIZAD Ali (tengah) ketika sidang akhbar mengenai cubaan menyeludup rokok putih dan minuman keras bernilai jutaan ringgit di Stor Penguatkuasaan Kastam di Bagan Jermal, Butterworth, Pulau Pinang. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup 4.5 juta batang rokok putih yang berselindung sebalik pakaian terpakai dalam sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 26 Disember lalu.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, keseluruhan rokok yang dianggarkan bernilai lebih RM5.84 juta termasuk cukai itu dikesan dalam 22,500 karton yang kemudiannya dirampas untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan yang dibuat kira-kira pukul 11.20 pagi itu, JKDM menjumpai karton-karton rokok terbabit yang dicampurkan bersama 175 karton pakaian lusuh dan terpakai. 

“Kontena itu dipercayai dari Thailand dan dalam perjalanan ke India. Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan pemilik dagangan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Stor Penguatkuasan Kastam di Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Jelas Rohaizat, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sepasukan pegawai telah menemukan 52,790 tin minuman keras yang bernilai lebih RM1.18 juta termasuk cukai menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena di lokasi yang sama pada 12 Disember lalu.

“Kontena yang berisi 26,395 liter minuman keras jenis bir itu diikrar sebagai perabot malah didaftarkan menggunakan alamat syarikat palsu.

“Arak itu pula dipercayai dari India dan transit di sini, namun, tiada tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya.

Tambah beliau, usaha mengesan pemilik dagangan giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya