RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 menumpaskan kegiatan penyeludupan daun ganja seberat 1,200 gram di pangkalan haram Kubur Lama di sini, kelmarin.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Abd. Hamid berkata, dadah berkenaan ditemukan di pangkalan haram tersebut pada pukul 6 pagi ketika rondaan Op Wawasan Kelantan.
“Anggota PGA Batalion 9 ketika membuat rondaan melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram itu.Menyedari kehadiran anggota PGA 9, lelaki tersebut melarikan diri dan meninggalkan beberapa bungkusan di pangkalan haram tersebut,” katanya hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam bungkusan tersebut menemukan daun ganja dipercayai dari negara jiran untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
“Daun ganja tersebut bernilai RM4,000 dirampas dan di bawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN