TUMPAT: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 12 ekor lembu seludup selepas menahan seorang lelaki di Kampung Jal Besar, di sini, kelmarin.
Lelaki berusia 35 tahun ini ditahan pada pukul 6 petang semasa memandu lori dalam keadaan mencurigakan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menjumpai 12 ekor lembu yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Menurutnya, suspek tersebut dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup lembu tersebut ke pasaran tempatan.
“Anggaran berat 12 ekor lembu berkenaan adalah lebih 7,800 kilogram dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM257,000 termasuk nilai kenderaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
“Suspek dan barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Chabang Empat, di sini untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini. – UTUSAN