PETALING JAYA: Seorang guru di Sarawak, Muhammad Nazmi Rosli disenaraikan 10 finalis terakhir bagi Hadiah Guru Global 2025.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata, kejayaan itu adalah pengiktirafan terhadap kecemerlangan Muhammad Nazmi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dapat mengubah hidup murid ke arah yang lebih baik.
“Tahniah diucapkan kepada Cikgu Muhammad Nazmi Rosli yang berjaya tersenarai antara 10 terbaik Hadiah Guru Global 2025. Terima kasih kerana menginspirasikan kami semua,” katanya,
Terdahulu, Muhammad Nazmi Rosli, 32, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Nazmi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas global.
Perjalananan beliau sebelum disenaraikan sebagai salah seorang finalis terakhir untuk Hadiah Guru Global 2025 adalah memenangi Malaysia Teacher Prize 2023 anjuran Pertubuhan Pemimpin.
Anugerah anjuran Varkey Foundation itu turut menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta.
Kejayaan ini turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut memberikan penghargaan kepada Muhammad Nazmi atas pencapaian membanggakan itu.
“Pencapaian Muhammad Nazmi sebagai salah seorang daripada 10 finalis terakhir telah membuktikan keupayaan guru Malaysia untuk mencipta perubahan besar dan cemerlang di pentas global.
“Kejayaan ini mencerminkan nilai-nilai yang selaras dengan aspirasi pendidikan manusiawi yang mana ia tidak terbatas kepada penyampaian ilmu di dalam bilik darjah malah menerusi pembinaan karakter dan masa depan anak bangsa,” katanya.
Hadiah Guru Global 2025 memberi pengiktirafan kepada pendidik luar biasa yang telah menyalurkan sumbangan besar kepada profesion perguruan.
Ia juga bertujuan meningkatkan martabat guru di seluruh dunia dan mengiktiraf peranan mereka sebagai penggerak masa depan masyarakat.
Pengumuman pemenang Hadiah Guru Global 2025 akan berlangsung di Dubai pada 11 Februari 2025. – UTUSAN