PETALING JAYA: Centre for Independent Journalism (CIJ) mengambil serius mengenai perkembangan terkini melibatkan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam memfailkan permohonan untuk perintah larangan bersuara (gag order) dan perintah larangan (prohibitory order) untuk menghalang orang awam daripada membahaskan isu mengenai usul titah adendum bagi membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G. Naidu berkata, perintah larangan bersuara itu akan menyekat mana-mana pihak, termasukmedia daripada menerbitkan, menyiarkan atau menyebarkan apa-apa berita mengenai semakan kehakiman yang sedang dijalankan.
Ini kerana katanya, menurut Timbalan Ketua Bahagian Sivil di AGC, Shamsul Bolhassan, perintah larangan bersuara akan melindungi sensitiviti kes tersebut.
“Langkah yang diambil kerajaan menimbulkan pertanyaan mengenai status kebebasan bersuara dan hak mendapatkan maklumat di Malaysia kerana kerajaan telah mengukuhkan budaya kerahsiaan serta mengehadkan keupayaan orang awam dalam mengakses maklumat.
“Kesannya, wacana kritikal berkaitan kepentingan awam termasuk isu sensitif tidak dapat diadakan sekali gus mencerminkan rekod prestasi semasa kerajaan Madani yang mengekang kebebasan bersuara yang bertentangan dengan Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan. Bahkan, Artikel 160 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa pihak berkuasa awam adalah termasuk Yang di-Pertuan Agong.
“Secara tidak langsung, sebarang penelitian terhadap akauntabiliti yang dimiliki pihak berkuasa awam haruslah dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, beliau berkata, kerajaan harus menyegerakan penggubalan undang-undang Hak Mendapatkan Maklumat (RTI) tanpa sebarang penangguhan untuk memastikan kerajaan bersifat terbuka berdasarkan ketelusan dan pendedahan proaktif maklumat yang dipegang oleh pihak berkuasa awam.
Katanya, sebarang pengecualian terhadap pendedahan maklumat haruslah haruslah didasarkan pada prinsip hak asasi manusia iaitu perundangan (legality), keperluan (necessity) dan perkadaran (proportionality) di samping memenuhi ujian kepentingan awam dan ujian mudarat.
“Dengan mengamalkan perkara tersebut, sebuah ekosistem maklumat dapat terbina berasaskan standard antarabangsa mengenai hak asasi manusia tanpa pengaruh politik atau perniagaan.
“Prinsip ketelusan yang menjadi asas undang-undang RTI haruslah dijadikan sebagai pintu masuk bagi kerajaan menangani persepsi negatif dalam kalangan orang awam serta meninggalkan amalan penapisan wacana kritikal,” katanya. – UTUSAN