CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi hari ini melancarkan Chatbot Sebenarnya.my yang berfungsi memerangi maklumat palsu dan membolehkan pengguna menyemak berita yang tidak disahkan dalam talian.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) itu diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata, ia platform mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam menerusi portal https://sebenarnya.my/ dan platform WhatsApp yang dibangunkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“AIFA juga berperanan meningkatkan fungsi portal Sebenarnya.my, dengan tiga objektif utama termasuk membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih secara cepat dan mudah.
“AIFA adalah alat penting untuk memperkasa rakyat dengan maklumat yang telah disahkan oleh pihak berwajib, dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar.
“Dengan kemudahan ini, pihak MCMC menawarkan kepada rakyat cara yang mudah, pantas dan boleh dipercayai untuk mengesahkan maklumat yang mereka terima atau temui secara dalam talian,” katanya ketika berucap melancarkan Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Chatbot AIFA iaitu Artificial Intelligence Fact-check Assistant di sini hari ini.
Katanya, AIFA juga tersedia dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil.
Fahmi berkata, ketika ini AIFA hanya menerima input dalam format teks dan ia akan diperluas untuk menerima input dalam format lain seperti video atau grafik pada masa hadapan.
“Saya juga pihak MCMC untuk memperluas penggunaan AIFA di peringkat Komuniti MADANI dan di lebih 1,000 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang mempunyai 1.3 juta ahli NADI,” katanya.
Mengulas mengenai kandungan berita palsu, Fahmi berkata, bermula awal bulan hingga semalam, MCMC telah memohon penurunan 1,575 kandungan berita palsu dimana 1,233 kandungan daripadanya telah diturunkan kerana disahkan palsu.
Katanya, sepanjang tahun lalu, MCMC juga telah memohon penurunan 19,546 kandungan berita palsu dimana 17,245 kandungan telah diturunkan selepas ia disahkan palsu. – UTUSAN