IPOH: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menghadapi sebarang masalah berkaitan peperiksaan itu diminta menghubungi talian bilik gerakan Lembaga Peperiksaan (LP) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia membantu pada bila-bila masa bagi memastikan 402,956 orang calon SPM pada tahun ini tidak tercicir dalam menduduki peperiksaan tersebut.
“Kami bersedia untuk menghadapi apa-apa situasi yang mungkin berbangkit dan bersedia membantu calon-calon yang terlibat dengan mana-mana isu.
“Sekiranya mana-mana calon bukan sahaja ditimpa bencana malah jika ada apa-apa isu berkaitan peperiksaan, boleh hubungi talian bilik gerakan supaya kita boleh membantu daripada semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau perjalanan peperiksaan SPM 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Pasir Puteh, di sini hari ini.
Menurut beliau, bagi calon-calon SPM di negeri terjejas banjir, pihaknya akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) dalam Operasi Payung sebelum ini.
Katanya, kerjasama dijalankan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mendapatkan maklumat untuk persediaan awal.
“Ini adalah komitmen dan usaha KPM. Saya yakin KPM mampu mengendalikan situasi berbangkit sekiranya ada untuk memastikan kebajikan dan kehadiran calon pada peperiksaan itu,” katanya.
Tambah beliau, seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2024 di 3,337 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
Katanya, seramai 44,968 petugas peperiksaan telah dilantik untuk memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan itu yang akan berakhir 6 Februari depan.
“Daripada 402,956 calon ini, seramai 20,886 orang merupakan calon persendirian. Kesemua mereka akan mengambil peperiksaan tersebut di 3,337 buah pusat peperiksaan,” katanya. – UTUSAN