PpETALING JAYA: Kadar caj baharu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sudah mula dikuatkuasakan secara berfasa bermula September lalu dengan kos peningkatan temu janji dan perundingan dari RM15 hingga RM30.
Berdasarkan soalan lazim (FAQ) yang dipaparkan di laman sesawang PPUM, semua pihak yang berurusan dengan PPUM, akan dikenakan caj baharu melalui fasa satu, sejak 1 September lalu.
Sementara kadar caj baharu fasa dua pula yang mula diperkenalkan sejak Rabu lalu merangkumi bayaran prosedur, perawatan dan perkhidmatan.
Berdasarkan paparan makluman di laman webnya, kadar caj baharu itu, adalah selaras dengan usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada pesakit.
“Semakan caj dilaksanakan kerana berlakunya perubahan kepada kos terutamanya kepada bekalan guna hapus dan peralatan untuk caj sedia ada
“Semua pihak yang berurusan dengan PPUM, akan dikenakan caj yang baharu mulai 1 September 2024. Caj baharu PPUM adalah lebih rendah dari caj hospital swasta,” katanya.
Menurut FAQ PPUM, semakan semula caj tidak membelakangkan polisi dan perancangan kerajaan dan ia masih menyediakan perkhidmatan rawatan kepada rakyat seperti biasa selain meraikan juga polisi kerajaan lain antaranya kebajikan kakitangan kerajaan serta menyediakan peluang pekerjaan.
Katanya, bagi pesakit di bawah kategori B40 yang tidak berkemampuan, mereka boleh menggunakan kemudahan MySalam selain boleh dirujuk kepada Unit Taksiran, Jabatan kewangan PPUM dan Jabatan Kerja Sosial untuk dibantu sekiranya berkelayakan.
Berdasarkan FAQ, aktiviti semakan semula caj ini dilaksanakan sekurang-kurangnya lima tahun sekali kecuali terdapat perubahan kos signifikan kepada perkhidmatan yang ditawarkan kepada pesakit.
“Terdapat kemungkinan caj rawatan akan diturunkan sekiranya terdapat kos berkaitan didapati menurun pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN