PETALING JAYA: Cadangan waktu bekerja berlainan (WBB) bukan daripada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebaliknya melibatkan Jawatankuasa Penasihat dan Tindakan Perubatan (MAAC).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, perkara itu telah disalahertikan oleh sesetengah pihak sehingga mencetuskan polemik kepada masyarakat.
“Oleh itu, tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan kumpulan pegawai ini tanpa asas yang kukuh. PTD sentiasa memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melaksanakan dasar dengan profesional dan berintegriti demi kepentingan negara.
“Sehubungan itu, Cuepacs dengan tegas menyeru semua pihak agar tidak lagi membuat spekulasi atau menyalahkan mana-mana pihak secara tidak adil. Sebaliknya, semua tenaga harus difokuskan kepada usaha mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan perkhidmatan awam dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) membidas tuduhan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bahawa pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) hanyalah ‘sekumpulan yang melihat pada helaian Excel’ tanpa memahami realiti yang berlaku dalam sektor kesihatan.
Khairy melalui podkas ‘Keluar Sekejap’, mengaitkan kegagalan sistem WBB bagi petugas kesihatan dengan jurang pemahaman dalam kalangan birokrat di Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap realiti amalan perubatan.
Khairy dilaporkan mengkritik proses membuat keputusan, sambil menegaskan bahawa ia dilaksanakan oleh penjawat awam yang tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai operasi hospital.
Dalam pada itu, Adnan berkata, sebarang perubahan sistem waktu bekerja petugas kesihatan mestilah dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira kebajikan pekerja.
Beliau berkata, pihaknya menyokong langkah Kementerian Kesihatan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji penjadualan waktu kerja dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Selain itu, Cuepacs melihat keputusan Jemaah Menteri untuk meneliti semula WBB adalah langkah yang tepat bagi memastikan sebarang perubahan yang dibuat adalah berlandaskan kajian yang menyeluruh dan mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua pihak. – UTUSAN