SETIU : Seorang buruh maut selepas Proton Saga Iswara dipandunya terlibat kemalangan dengan dua buah lagi kenderaan di Kilometer 68 Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja dekat Kampung Beris Tokku, di sini hari ini,
Mangsa yang maut ialah Pauzai Sulaiman, 68, berasal dari Kampung Telok Perupok, Bachok, Kelantan.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata,selain Proton Saga Iswara dipandu mangsa, kemalangan kira-kira pukul 8.30 pagi itu melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dan Nissan Almera.
“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Bachok menuju ke Kampung, Rhu 10, Setiu, manakala Honda CR-V dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Besut. Kereta Nissan Almera pula dalam perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor ke Kampung Raja, Besut.
“Siasatan awal mendapati sewaktu tiba di lokasi kejadian, Proton Saga Isawara dipandu Pauzai cuba memotong kereta berada di hadapannya, namun gagal lalu bertembung dengan Honda CR-V di laluan bertentangan. Kemudian datang Nissan Almera dari belakang dan bergesel dengan Honda CR-V,” katanya hari ini.
Menurutnya, kemalangan itut melibatkan 12 orang mangsa yang mana seorang disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala empat lagi tercedera dan kes disiasat di bawah Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN