BATU PAHAT: Seorang buruh berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine, awal bulan ini.
Tertuduh, Paisal Karok, 24, mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Berdasarkan kertas pendakwaan, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 3.08 kilogram di tepi Lamaisara Corner, Kampung Sungai Kajang, Jalan Peserai, di sini pada pukul 11.30 pagi, 2 Januari lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 39B (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 kali jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Ling Shao Shen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan tarikh semula kes dan serahan dokumen serta laporan kimia dan lantikan peguam bela pada 13 Mac depan. – UTUSAN