PETALING JAYA: Kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr Tay Tien Yaa pada Ogos tahun lalu, bukan disebabkan menjadi mangsa buli atau dizalimi.
Hasil itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar patologi berkenaan, Tan Sri Borhan Dollah, hari ini.
Pada 16 September lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menggesa siasatan terperinci dilakukan berhubung dakwaan kematian seorang doktor pakar di Hospital Lahad Datu, Sabah disebabkan bunuh diri akibat dibuli.
Pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah itu meninggal dunia pada 29 Ogos lalu. Adiknya mendakwa buli mungkin antara faktor menyebabkan kematian kakaknya.
Ia mendorong Persatuan Perubatan Malaysia menggesa Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Sabah mempercepatkan siasatan menyeluruh ke atas kematian Tien Ya kerana bimbang kesihatan mental dan kesejahteraan doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam. – UTUSAN