Buka lebih banyak peluang kerja untuk OKU - TPM - Utusan Malaysia

Buka lebih banyak peluang kerja untuk OKU – TPM

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyampaikan skim faedah hilang upaya sementara Perkeso kepada Amirul Syahmi Mohd Nasoha (kiri) pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs Bagan Datuk di Hutan Melintang hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kerajaan menyeru lebih banyak syarikat tempatan mahupun antarabangsa untuk membuka peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai insentif disediakan kerajaan bagi memberi galakan dan sokongan kepada majikan untuk menggajikan golongan sasar itu termasuk insentif bulanan sebanyak RM600.

Katanya, meskipun golongan berkenaan memiliki limitasi tertentu, namun produktiviti golongan tersebut tidak perlu dipertikaikan dan mungkin sama seperti individu normal lain.

“Saya ingin beritahu mana-mana syarikat yang mengambil pekerja OKU, mereka diberi insentif RM600 sebulan jika ambil pekerja OKU ini.

“Saya menyeru bukan hanya syarikat-syarikat di dalam negara tapi luar (syarikat luar negara) juga, sila beri keprihatinan terhadap pekerja OKU ini.

“Yang kurang upaya hanya anggota badan, tapi dari segi produktiviti mereka ini sama baik walaupun tidak sama dengan pekerja lain,” katanya ketika berucap pada Karnival Kerjaya Myfuture Jobs@Bagan Datuk 2025 di Dewan Serbaguna Dato Haji Abdullah Ahmad di Hutan Melintang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, usaha berterusan dikendalikan Kesuma melalui Perkeso dengan penganjuran program seperti MyFutureJobs telah menawarkan peluang kepada pencari pekerjaan.

Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara sehingga Oktober tahun lalu kekal pada paras 3.2 peratus bersamaan 551,400 orang.

“Kita lihat bahawa pengangguran di negara kita yang agak tinggi suatu ketika dahulu sudah menurun.

“Kita lihat peluang pekerjaan bukan sahaja dari domestik, malah pelabur dalam negara ditambah dengan peluang pekerjaan dari luar negara memperlihatkan peluang pekerjaan terlalu besar dan ruang pengangguran semakin mengecil,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, berlaku peningkatan ketara dalam jumlah individu menyertai institusi TVET pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, sekali gus memperlihatkan penerimaan golongan ibu bapa dan pelajar.

“Pada tahun lalu, seramai 280,000 pelajar memasuki 1,398 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara berbanding 130,000 pelajar pada tahun 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya