Budak perempuan 7 tahun maut dipercayai didera ibu bapa

Budak perempuan 7 tahun maut dipercayai didera ibu bapa

polis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri ditahan dipercayai mendera anak perempuan berusia tujuh tahun sehingga meninggal dunia di Kajang dekat sini semalam. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak Hospital Kajang berkaitan insiden itu pada pukul 1.11 pagi, semalam. 

Katanya, pihak hospital memaklumkan pasangan tersebut membawa mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Kajang.

“Hasil bedah siasat di Unit Forensik hospital berkenaan pada 12.30 tengah hari menemukan banyak tanda kesan dera lama dan baru pada fizikal mangsa.

“Punca kematian disebabkan kecederaan di perut akibat objek tumpul,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Susulan itu, menurutnya, kedua ibu bapa mangsa berusia 38 dan 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Jelasnya, pihak polis akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Kajang, pagi ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintenden Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN