BACHOK: Seorang kanak-kanak yang hilang selepas terjatuh ke dalam tali air di Kampung Kubang Telaga, di sini semalam, ditemukan lemas hari ini.
Mayat Muhammad Asadullah Zehan ditemukan pada pukul 9.40 pagi pada jarak enam meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zamizi Muhamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 9.29 pagi menggunakan kaedah carian di permukaan.
“Seramai 19 anggota bersama sebuah jentera, tiga trak pikap dan sebuah bot ke lokasi.Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan, niat murni seorang abang untuk menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam tali air berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas dalam kejadian di Kampung Kubang Telaga petang semalam.
Mangsa Muhamad Amirul Mukminin Zehan, 17, dijumpai oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat kira-kira pukul 8.25 malam tadi. – UTUSAN