PASIR MAS: Seekor buaya tembaga memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan di parit air Kampung Sakar Sungai, di sini hari ini.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan itu dibuat susulan aduan penduduk kampung berkenaan tentang kehadiran buaya itu pada 1 Januari lalu yang dipercayai tersesat daripada Sungai Kelantan semasa kejadian banjir, baru-baru ini.
“Sepasukan anggota menjalankan siasatan di lokasi aduan dan mendapati jarak antara lokasi aduan dan Sungai Kelantan adalah lebih kurang satu kilometer (KM). Satu perangkap buaya dipasang di lokasi aduan pada Khamis lalu dan hari ini buaya berkenaan memasukinya,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Hafid berkata, operasi pemindahan buaya ke habitat asal yang sesuai dan jauh daripada kawasan penempatan akan dilaksanakan segera.
“Dengan kejayaan operasi tangkapan ini, diharapkan dapat mengurangkan ketakutan dan kegusaran kepada penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN