Kebelakangan ini, boleh dikatakan pelakon dan pengacara popular, Elly Mazlein, kerap kali berkongsi di media sosial mengenai tindakannya membantu golongan memerlukan, khususnya kanak-kanak.
Ramai memuji dan menganggap wanita berusia 45 tahun ini memiliki hati yang murni dan sarat dengan kasih sayang meskipun sering memaparkan dirinya bersifat ‘gila-gila’ di hadapan kamera.
Bagaimanapun, dalam pujian, lumrah, ada juga segelintir yang tidak senang dengan cara Elly yang juga mesra disapa sebagai Kak Lina Pom Pom ini, kononnya kebaikan dan amal jariah yang dilakukan sengaja dibuat-buat.
Dalam erti kata lain, sekadar sebahagian daripada bahan kandungan media sosial.
Tajamnya kata serta dangkalnya pemikiran seperti itu membawa Pancaindera untuk bertanyakan sendiri kepada Elly dengan tujuan menjernihkan pandangan yang salah.
Berikut adalah apa yang diluahkan Elly kepada Pancaindera.
J: Kita boleh lihat, Elly begitu aktif dari sudut kebajikan dengan beberapa kali membantu kanak-kanak kurang bernasib baik sehingga kini. Sejak bila sebenarnya bermula?
E: Segalanya bermula dengan arwah adik Alisa Umairah Nor Hisham yang menderita kanser mata tahap empat tahun lalu. Kali pertama saya lihat dia di TikTok, terdetik dalam hati rasa kasihan terhadap anak kecil ini. Walaupun hanya sekejap sempat mengenali
Alisa, tapi cinta dan sayang saya kepada anak istimewa itu menebal sampai ke hari ini.
“Selepas Alisa dijemput llahi, saya berniat akan teruskan usaha untuk memberikan sumbangan kepada anak-anak lain yang memerlukan.
J: Selepas Allahyarham Alisa, siapa lagi yang Elly bantu?
E: Baru-baru ini saya ada bertemu dengan adik Nur Umairah Mohd Fauzi yang sedang melawan sakit barah darah (leukemia) di Johor. Saya sempat menghadiahkan telefon bimbit kepadanya untuk dia belajar di hospital. Sekarang ini zaman serba teknologi, hendak belajar pun boleh menerusi telefon. Saya hadiahkannya sebagai kemudahan buatnya belajar.
J: Difahamkan, semua yang dilakukan Elly ini merupakan usaha sendiri dan tidak melibatkan mana-mana pihak tertentu seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO). Benarkah?
E: Sebenarnya, ramai lagi anak-anak lain saya nak jumpa, yang kurang bernasib baik. Terus-terang,saya ini tidaklah kaya mana pun, tapi rezeki yang saya dapat tu, saya nak salurkan kepada mereka. Itu hasrat saya. Sebagaimana kita semua tahu, kos perubatan sangat mahal, jadi saya berharap pertolongan saya yang kecil ini sedikit sebanyak dapat membahagiakan mereka.
Insya-Allah, ada bahagian rezeki yang diraih, saya akan salurkan kepada mereka yang memerlukan kerana saya percaya dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain.
J: Apa sebenarnya yang Elly rasakan sebagai individu dengan melakukan kebaikan seperti ini?
E: Saya rasa puas sebab kenapa kita sebagai manusia menjadi orang yang baik? Kita berbuat baik ini seronok. Bila saya dapat gembirakan orang ia umpama saya punya ‘happy pills’. Bila kita dapat bahagiakan orang dan tengok dia gembira, ia satu perasaan yang sukar untuk digambarkan dan saya juga tumpang bahagia untuk mereka dan puas sangat. Maknanya, saya bekerja, berhempas pulas, rezeki yang saya dapat, saya dapat pula tengok dan buat mereka ketawa dan tersenyum, itu sudah cukup buat saya bahagia.
J: Apabila ada pihak atau warganet menganggap tindakan Elly ini meskipun murni, tetapi dicop sebagai sekadar bahan kandungan media sosial untuk tarik perhatian orang, apa komen Elly?
E: Saya tak buat benda ini sebagai satu bahan kandungan atau untuk mewujudkan nilai komersial di mata orang. Saya tak boleh kawal orang punya pemahaman. Saya tak perlu tahu hal orang lain. Dia nak cakap apa sahaja, terpulang.
Saya buat ini memang dengan kerelaan hati sendiri. Saya nampak di mana-mana platform media sosial, hati sayu sedih, saya terus pergi sendiri sahaja. Tak kisahlah jauh mana pun, dengan kesihatan dan rezeki yang Allah bagi, saya akan pergi.
J: Tetapi, rasanya Elly tetap perlu kena fahamkan dan jelaskan kepada semua bahawa semua ini bukan satu’wayang’ sahaja. Bukan apa, supaya orang berhenti cakap buruk di belakang.
E: Saya tak kisah apa sahaja tanggapan mereka sebab buat baik atau jahat, sama sahaja, orang tetap akan bercakap dan tidak suka. Saya tak perlu jelaskan kepada mereka yang mahu kritik atau cakap saya begitu. Saya seronok dengan kehidupan dan apa yang dilakukan sekarang. Bila kita tunjuk semua ini, sedikit sebanyak kita dapat beri pengaruh yang baik kepada masyarakat. Saya sendiri pun melihat orang lain buat baik sebelum ini maka saya contohi mereka.
Jadi, kenapa mesti buat baik kena sorok-sorok? Ada yang kata buat baik tak payah tunjuk tetapi bagi saya, zaman sekarang, kita kena tunjuk kebaikan itu supaya orang yang melihat akan ikut benda yang baik.