KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meletakkan indeks jisim badan (BMI) sebagai syarat kenaikan pangkat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perkara itu selaras dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga menetapkan BMI untuk kenaikan pangkat anggota.
Katanya, syarat itu akan dibincangkan bersama Ketua Pengarah JBPM tahun hadapan.
“Anggota bomba tidak boleh mempunyai BMI melebihi 30. Sekiranya BMI melebihi 30, mereka tidak dibenarkan naik pangkat.
“Oleh itu, saya nasihatkan semua anggota bomba perlu pastikan badan sihat minda cergas. Syarat (BMI kurang daripada 30) ini dikenakan untuk semua pangkat,” katanya ketika ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Kesiapsiagaan Musim Perayaan Sempena Tahun Baru Cina 202-Ops Siaga Raya.
Sebelum ini, pegawai polis yang BMI melebihi 28 tidak akan dinaikkan pangkat dalam memastikan kesihatan mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, syarat tambahan itu yang ditetapkan dalam pemberian pemangkuan jawatan dan kenaikan pangkat adalah selaras dengan Arahan Ketua Polis Negara No. 202 Dasar Trim and Fit yang berkehendakkan BMI berada pada paras kurang daripada 28.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, JBPM bakal menerima tiga helikopter baharu jenis Agusta Westland AW139 menjelang tahun hadapan.
“Oleh itu, kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM220 juta untuk terus memperkasakan aset JBPM.
“Pembelian helikopter ini untuk memudahkan misi menyelamat pihak bomba khususnya di kawasan pedalaman. Model itu dipilih kerana lebih cekap dan efisen berbanding model lain,” katanya. – UTUSAN