KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini perlu memastikan Indeks Jisim Badan (BMI) mereka berada di bawah paras 28 sebagai salah satu syarat tambahan untuk melayakkan diri menerima pemangkuan dan kenaikan pangkat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, syarat baharu itu diperkenalkan bagi memastikan setiap pegawai dan anggota PDRM kekal sihat serta berpenampilan baik, seiring dengan tuntutan tugas yang memerlukan kecergasan dan ketangkasan.
“Pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat kini diperketatkan dengan syarat tambahan bahawa BMI pegawai dan anggota perlu berada pada tahap kurang daripada 28.
“Inisiatif itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesihatan, tetapi juga memastikan keterampilan pegawai PDRM dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Razarudin menjelaskan, proses pemangkuan pangkat dalam PDRM turut diperkukuhkan bagi memastikan ia dilaksanakan secara telus dan adil, sekaligus memberi peluang sama rata kepada semua yang berkelayakan.
Menurutnya, dasar Pemangkuan Pangkat bagi Pegawai Kanan PDRM telah diperkenalkan bersama pembinaan Sistem Pembangunan Sumber Manusia yang lebih cekap dan efisien.
“Bermula tahun 2025, proses pemangkuan pangkat akan diperhebat dengan pelaksanaan penilaian e-Kursus dan Penilaian Kompetensi Atas Talian (PeKAT).
“Langkah tersebut bertujuan mengekang isu pilih kasih serta memastikan pemilihan calon dibuat berdasarkan kompetensi dan kelayakan sebenar,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Razarudin memaklumkan, dasar pemangkuan pangkat dari Asisten Superintenden (ASP) ke Deputi Superintenden (DSP) kini dilaksanakan bagi mengisi 254 kekosongan jawatan DSP di seluruh negara.
Beliau menegaskan, PDRM komited dalam memastikan warganya berpengetahuan, kompeten dan berdaya saing melalui pelbagai inisiatif latihan di bawah agenda Transformasi Pembangunan Modal Insan.-UTUSAN