KOTA BHARU: Pas dilabel sebagai parti yang tidak memahami sistem demokrasi apabila ‘sibuk bercakap’ soal Perdana Menteri selain mahu menggulingkan kerajaan tanpa menunggu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, tindakan itu jelas bertentangan dengan amalan demokrasi yang menjadi tunjang pentadbiran negara sejak merdeka.
“Kalau nak jatuh atau tukar kerajaan tunggulah PRU bukan dengan terus memainkan naratif tidak baik. Situasi itu boleh menyebabkan pelabur lari sekali gus memberikan kesan tidak baik kepada negara.
“Sebagai sebuah parti (sudah matang), Pas sepatutnya menghormati keputusan rakyat yang memilih gabungan Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan,” katanya selepas Majlis Amanah Tahun Baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) 2025 di sini hari ini.
Khalid berkata, sistem demokrasi jelas memperincikan parti yang menang pada PRU akan menjadi kerajaan sementara kumpulan kalah sebagai pembangkang.
“Pembangkang baik adalah kumpulan yang menghormati pilihan rakyat dan membantu kerajaan dalam mewujudkan urus tadbir lebih baik.
“Berbeza dengan Pas, apabila mereka anggap tanggungjawab (Pas) adalah untuk menjatuhkan kerajaan dengan apa cara sekali pun,” ujarnya. – UTUSAN