PETALING JAYA: Perbicaraan kes membabitkan pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin akan bermula pada 3 Februari ini sebagaimana yang ditetapkan sebelum ini.
Ia selepas, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin proses serahan dokumen berkaitan prosiding ini telah selesai.
Pada prosiding terdahulu, Hakim Dr. Syahliza Warnoh menetapkan tarikh perbicaraan pada 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari dan 10 hingga 14 Mac hadapan yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Selain itu, pada prosiding hari ini, pendakwaan memaklumkan akan menghantar senarai saksi menerusi emel kepada barisan peguam mewakili kedua-dua tertuduh itu.
“Kita akan serahkan senarai 15 saksi pendakwaan kepada peguam melalui emel. Jika ada sebarang penyataan saksi, kami akan serahkan kepada peguam sebelum tarikh perbicaraan Yang Arif,” katanya.
Sementara itu, peguam bela, Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh turut mengesahkan pihaknya menerima cakera padat (CD) mengandungi laporan analisis forensik telefon bimbit tertuduh dan laporan forensik bedah siasat mangsa.
Selain Haresh, turut mewakili pasangan itu ialah peguam bela, Ramzani Idris.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN