Bicara ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram berasingan

Bicara ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram berasingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk membicarakan secara bersama kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Kelima-lima mereka terdiri daripada bapa penyerang, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 62; ibunya, Rosna Jantan, 59; dan tiga adik-beradiknya, Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran,23; dan Mariah Radin Imran,19. 

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P.  Kunyalam.

“Setelah menimbang hujahan Timbalan Pendakwa Raya dan peguam bela  responden-responden, permohonan untuk kesemua pertuduhan dalam kelima-lima kes dibicarakan sekali ditolak kerana akan memperjudiskan responden-responden.

“Bagaimanapun, empat pertuduhan yang dihadapi responden pertama (Radin Imran) dibicarakan sekali dan dua pertuduhan yang dihadapi responden kedua (Radin Romyullah) dibicarakan sekali manakala kes responden ketiga (Rosna), keempat (Mariah) dan kelima (Farhah Sobrina) yang masing-masing berdepan satu pertuduhan akan dibicarakan bersama,” kata hakim itu.

Mahkamah juga menetapkan 13 Februari hadapan untuk pengurusan kes bagi kesemua kes itu.

Terdahulu, Mohamad Mustafa memohon agar kesemua kes yang dihadapi oleh kelima-lima tertuduh dibicarakan bersama kerana pertuduhan kesalahan berhubung kait antara satu sama lain. 

Bagaimanapun, peguam bela, Faizal Rahman yang mewakili kesemua tertuduh membantah permohonan pendakwaan kerana  tidak adil untuk responden ketiga, keempat dan kelima mendengar keterangan saksi-saksi bagi enam pertuduhan.  

“Untuk enam pertuduhan membabitkan responden dan kedua, tidak ada kena-mengena bagi responden ketiga, keempat dan kelima  tetapi mereka terpaksa tunggu dan mendengar kesemua keterangan sedangkan mereka boleh melupuskan kes mereka secepat yang mungkin.

“Sebagai alternatif atas budi bicara mahkamah, saya mohon untuk bagi responden ketiga,keempat dan kelima dibicarakan bersama tetapi tidak untuk semua kelima-limanya,” kata Faizal. 

Pada 30 September 2024, Rosna mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei lepas.

Pada 16 Oktober 2024, Radin Romyullah juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru.

Pada 23 Oktober 2024, Radin Imran mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.

Pada tarikh  sama, anak perempuan Radin Imran, Farhah Sobrina turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya