TONTONAN 26 juta lagu Cinta Setandang Pisang atau Bey Soba Bey nyanyian duet Den Manjo bersama Eda Ezrin di YouTube membuka lembaran buat industri muzik Kelantan.
Mana tidaknya, lagu yang menggunakan loghat Kelantan sepenuhnya, telah menambah jangka hayat industri muzik bersifat lokal untuk kekal revelan selepas berdepan ‘kejatuhan’ bermula 2014 apabila jualan cakera padat (CD) serta video cakera padat (VCD) sudah tidak mendapat sambutan.
Perkara itu diakui sendiri oleh penerbit dan komposer terkenal tanah air Eddie Hamid kepada Utusan Malaysia yang melihat lagu Bey Soba Bey telah menjadi titik tolak kepada perkembangan industri muzik Kelantan.
Katanya, hal ini kerana lagu itu menerima sambutan begitu baik dalam kalangan peminat seni tanah air apabila ia diputarkan di stesen-stesen radio seluruh negara termasuk swasta.
“Bukan sahaja mencetus fenomena di Malaysia malah lagu itu telah tular sehingga menjadi siulan rakyat di Selatan Thailand, Indonesia dan Brunei.
“Lebih mengejutkan, kelab bola sepak dari Itali, Juventus tidak terlepas menjadikan Bey Soba Bey sebagai lagu tema di laman sosial TikTok pasukan tersebut sekali gus menjadikan nama Kelantan popular di seluruh dunia,” katanya.
Menurut Eddie Hamid lagi, dia yakin kejayaan karya itu menjadi pemangkin kepada penggiat seni Kelantan untuk terus berjuang dalam memartabatkan industri muzik negeri ini di peringkat nasional.
Pada masa sama ia memberi impak yang besar kepada perkembangan perjalanan muzik Kelantan terutama dalam industri lagu-lagu daerah.
RM6,000 untuk satu single
Untuk menghasilkan sebuah single, penggiat industri muzik Kelantan memerlukan perbelanjaan sehingga RM6,000 sebelum dimuat naik menerusi YouTube.
Penyanyi yang juga penerbit Wan Nukman Wan Hamzah atau Man Khan berkata, jumlah itu merangkumi bayaran sewa studio, susunan muzik, komposer, penulis lirik, penyanyi serta rakaman dan suntingan untuk rakaman video klip.
“Alhamdulillah di sini (Kelantan) kos untuk mengeluarkan satu-satu single boleh disifatkan masih lagi ramah dan berpatutan berbanding dengan industri muzik peringkat nasional.
“Itulah uniknya industri muzik Kelantan. Untuk makluman, di Kuala Lumpur untuk seorang artis mengeluarkan single menelan belanja bermula RM30,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Man Khan memberitahu, kebanyakan penggiat seni di Kelantan lebih selesa menerbitkan single berbanding album yang memerlukan modal yang agak besar.
“Sebelum ini album dijual dalam bentuk cakera padat (CD) atau video cakera padat (VCD) dan daripada situ kita (penggiat) mendapat hasil. Namun semua telah berubah hari ini apabila industri telah beralih dari analog kepada digital.
“Selari dengan perkembangan teknologi semasa, penggiat muzik Kelantan perlu berubah dengan memanfaatkan segala medium yang ada termasuk aplikasi TikTok dalam mempromosikan karya mereka,” ujarnya.
Penggiat lagu daerah perlu berdaftar dengan MACP
Penggiat lagu-lagu daerah atau dialek di negeri ini perlu berani berdaftar dengan Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) sekiranya mahu industri muzik Kelantan kekal relevan pada masa hadapan.
Mohamad Zainuri Mohd. Zain atau Poyie Gasi berkata, tindakan itu bukan sahaja melindungi setiap karya-karya yang dihasilkan malah memberi banyak manfaat terutama dalam pembayaran royalti.
“Setiap karya yang dihasilkan itu mestilah asli dan tidak menggunakan lagu-lagu saduran. Hal ini kerana rentak dan melodi lagu-lagu saduran itu sudah mempunyai hak ciptanya yang tersendiri.
“Saya mula berdaftar dengan MACP pada tahun 2023 lalu. Alhamdulillah, saya sudah mula menuai hasil apabila menerima hampir RM600 bayaran royalti daripada badan berkenaan,” katanya.
Lulusan sarjana sastera Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu memberitahu, royalti itu bergantung kepada jumlah lagu yang dimainkan di corong-corong radio dan beberapa platform yang berdaftar dengan MACP.
Penyanyi yang popular dengan lagu Gadis Kelate berkata, industri muzik negeri ini tidak lagi boleh bergantung kepada melodi sedia ada dengan menggunakan lagu-lagu saduran jika mahu terus kekal relevan.
Katanya, penggunaan itu boleh merugikan industri kerana pendengar hari ini sudah bijak dalam membuat penilaian mengikut kehendak mereka.
“Alhamdulillah, seni Kelantan makin berkembang dengan kehadiran pendatang baharu yang mempunyai latar pendidikan tinggi serta berkaitan dengan muzik seperti Emie Sukmasari, Putera Amirul dan ramai lagi.
“Jadi untuk dapatkan melodi-melodi lebih segar dan baharu itu mudah berbanding sebelum ini. Jadi bila ada generasi baharu seperti saya dan rakan-rakan lain, kami melihat muzik Kelantan itu secara lebih meluas,” katanya.
Poyie berkata, kebanyakkan penyanyi lagu-lagu dialek hari ini lebih selesa menghasilkan single disebabkan belanjanya agak murah berbanding album.
Katanya, kos menghasilkan single hari ini sekitar RM6,000 yang merangkumi video klip.
“Untuk album penuh yang mengandungi 12 lagu, penggiat seni perlu belanja antara RM20,000 hingga RM25,000. Ia merangkumi lagu, sewa studio, susunan muzik dan sebagainya,” ujarnya.