PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan kira-kira 1,000 pesawah yang dijangka akan ke Putrajaya esok supaya menukarnya kepada tarikh yang lain.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana tarikh esok seperti yang dirancang mereka itu bertindih dengan lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Katanya, pihak PDRM menghormati hasrat golongan pesawah itu namun berharap mereka dapat menukarnya kepada tarikh yang lain bagi penyelarasan tugas dan menjamin keselamatan Presiden Indonesia itu sentiasa berada di tahap tertinggi.
“Nasihat ini adalah untuk mengelakkan sebarang kesulitan kepada para peserta dan pandangan negatif terhadap PDRM sekiranya mereka (pesawah) perlu melalui prosedur keselamatan ketat kerana lawatan Presiden Indonesia mendapat status tetamu khas negara.
“Oleh itu, PDRM telah bersiap sedia daripada sudut keselamatan untuk memastikan lawatan Presiden Indonesia bebas daripada sebarang ancaman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, aturan keselamatan berkenaan selari dengan tanggungjawab PDRM di bawah Akta Polis Seksyen 3(3) bagi memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.
“PDRM menyeru kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi demi menjaga keharmonian dan ketenteraman awam,” katanya.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia esok, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,
Sementara itu, kira-kira 1,000 orang pesawah difahamkan akan berkumpul di hadapan pekarangan hadapan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pagi esok yang dianjurkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).
Ia difahamkan bagi membangkitkan antaranya berkaitan isu harga lantai padi dan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman.
Razarudin dalam pada itu berkata, pihak polius memberikan komitmen untuk membantu memudah cara perhimpunan golongan pesawah itu pada masa dan waktu yang lain selaras dengan peruntukan undang undang sedia ada.-UTUSAN.