HULU TERENGGANU: Seorang warga emas dari Kampung Kuala Ping, di sini berputih mata apabila ternakan ayam kampungnya sekali lagi hilang dihanyutkan arus banjir.
Isa Kasim, 72, berkata, lebih 20 ekor ayamnya dihanyutkan arus dalam dua kejadian banjir pada akhir November lalu dan Ahad lepas.
Katanya, dia menternak ayam kampung di tepi rumah sejak 10 tahun lalu dan setiap kali banjir melanda pasti menjadi ‘korban’ ekoran kawasan ditenggelami air antara satu hingga dua meter.
“Banjir sebelum ini cuma antara tiga hingga enam ekor ayam hanyut namun kali ini melibatkan semua ternakan. Jumlah pada tengkujuh kali ini paling banyak. Ayam-ayam ini tidak sempat dipindahkan ke tempat selamat kerana air biasanya naik mendadak, barang-barang dalam rumah perlu diselamatkan dahulu.
“Jika dihitung keseluruhannya, kerugian ditanggung sehingga kini sudah ribuan ringgit namun saya tidak serik untuk menternak ayam kampung kerana ia seperti satu terapi,” katanya ketika ditemui di sini.
Katanya, dia berhasrat membina reban yang lebih tinggi bagi mengelak kejadian serupa berlaku lagi apabila ayam kampung peliharaan hanyut setiap kali bencana banjir melanda. – UTUSAN